Rabu, 24 Julai 2019 | 12:02pm
Boris Johnson menunjukkan tanda bagus setibanya beliau di Ibu Pejabat Parti Konservatif selepas diumum sebagai Perdana Menteri baharu Britain di London. - Foto REUTERS

PM baharu Britain berdepan cabaran hebat

LONDON : Perdana Menteri baharu Britain, Boris Johson bakal berdepan cabaran hebat sepanjang mengepalai pentadbiran negara, bermula dari menyelesaikan isu Brexit hingga kemelut geo-politik bersama Iran.

Sebaik memasuki pejabat di Jalan Downing, Johnson pada kadar segera perlu menangani isu pengunduran Britain dari Kesatuan Eropah (EU) iaitu konflik sama yang memaksa Theresa May melepaskan jawatan.

Beliau ketika berkempen berikrar untuk sekali cuba berunding mengenai perjanjian perpisahan berkenaan yang gagal diselesaikan May sebelum ini namun kebanyakan pemimpin dilihat enggan memberi jaminan baharu.

Johnson turut menegaskan bahawa Britain akan meninggalkan blok terbabit selewat-lewatnya pada 31 Oktober tanpa sebarang perjanjian jika perlu.

Sebahagian besar ahli parlimen Britain bagaimanapun, termasuk daripada kalangan parti Konservatif sendiri menentang perpisahan tanpa perjanjian sekali gus menjadikan Johnson agak tersepit jika mahu merealisasikan matlamat Brexit itu.

Jika Brexit tidak dapat dilaksanakan, beliau perlu berdepan gangguan dijangka ke atas kemelut ekonomi dan perdagangan.

Parti Konservatif diketuai Johnson tidak memiliki majoriti di Parlimen dan berharap kepada perjanjian bersama Parti Kesatuan Demokratik Ireland Utara (DUP) untuk meluluskan rang undang-undang serta kekal berkuasa.

Namun dengan perhatian daripada ahli parlimen pembangkang dan sikap skeptikal beberapa penggubal undang-undang Tory mengenai cara, karakter beliau dan Brexit, cubaan untuk menjatuhkan Johson menerusi undi tidak percaya mungkin boleh berlaku.

Undian seperti itu akan menjadi kenyataan jika Johson cuba memaksa pengunduran Britain dari EU Oktober ini dengan cara menggantung parlimen sekali gus membawa kepada pilihan raya umum. - AFP,

Berita Harian X