Khamis, 25 Julai 2019 | 12:03am
Perdana Menteri Britain yang baharu, Boris Johnson berjanji untuk menjayakan misi Brexit. - Foto AFP

PM Britain baharu janji beres isu Brexit

LONDON: Perdana Menteri Britain yang baharu, Boris Johnson berjanji untuk menjayakan misi Brexit pada 31 Oktober ini walau dengan apa cara sekalipun.

Ketika sama, beliau turut membuat langkahan untuk membentuk satu Kabinet membabitkan senarai anggota ternama untuk menamatkan kemelut politik negara.

Dengan hanya berbaki kira-kira tiga bulan lagi sebelum Britain dijangka meninggalkan Kesatuan Eropah, pemimpin berusia 55 tahun itu dijangka akan mengumumkan senarai kabinet dan penasihat untuk membentuk satu barisan mantap.

Ketika bercakap di luar pejabat baharu Downing Street, Johnson - yang mengetuai kempen “Tinggal” pada pungutan suara Brexit 2016 - berjanji untuk melaksanakan ‘perjanjian baharu’ dengan Brussels.

Selepas dilantik secara rasmi oleh Ratu Elizabeth 11, hari ini beliau membuat kenyataan menegaskan bahawa undi untuk meninggalkan Kesatuan Eropah (EU) harus dihormati.

“Kami akan membuat perjanjian baharu. Satu perjanjian lebih baik untuk memaksimumkan peluang ke arah Brexit,” katanya.

“Saya amat yakin dalam tempoh 99 hari kita akan menyelesaikan isu ini. Warga Britain sudah lama menunggu.”

Antara tindakan pertama beliau, semalam adalah melantik pengarah kempen Brexit, Dominic Cummings sebagai penasihat kanan.

Namun, sesuatu yang mengejutkan adalah apabila Menteri Luar, Jeremy Hunt - calon yang tewas kepadanya dalam undian menjadi pemimpin Parti Konservatif - menolak tawaran Johnson untuk menggalas jawatan selaku menteri pertahanan. - AFP

Berita Harian X