Khamis, 25 Julai 2019 | 6:51pm
Masalah di Schiphol berlaku disebabkan kerosakan sistem pembekalan bahan bakar kepada kapal terbang. - Foto AFP

Ratusan penerbangan di Amsterdam terkandas

AMSTERDAM: Trafik udara di Lapangan Terbang Schiphol Amsterdam tergendala, hari ini, selepas syarikat pembekal bahan bakar utamanya memutuskan bekalan, menyebabkan ribuan penumpang terkandas di lapangan terbang itu, semalaman.

Anak syarikat Air France di Belanda, KLM yang juga syarikat penerbangan utama di Schiphol memaklumkan ia membatalkan 61 penerbangan masuk dan keluar dari Amsterdam, hari ini, selepas kira-kira 200 penerbangan dibatalkan, semalam.

Banyak penerbangan dari lapangan terbang ketiga terbesar di Eropah itu tergendala, pagi tadi, ketika pelbagai syarikat penerbangan cuba menyusun kembali jadual masing-masing.

“Ramai penumpang perlu mencari penerbangan baharu dan ia agak menyulitkan.

“Penumpang cuba menyelesaikan penerbangan masing-masing, namun situasi di lapangan terbang masih sesak,” kata jurucakap Schiphol.

Masalah di Schiphol berlaku disebabkan kerosakan sistem pembekalan bahan bakar kepada kapal terbang, mengakibatkan pesawat tidak boleh diisi dengan bahan bakar untuk berlepas.

Jurucakap lapangan terbang itu berkata, semua masalah sistem bahan bakar berjaya diselesaikan, petang tadi dan penerbangan akan pulih secara berperingkat.

Minggu ini adalah cuti musim panas paling sibuk di Schiphol dengan kira-kira 225,000 penumpang dijadualkan menggunakan lapangan terbang itu, hari ini. - Reuters

Berita Harian X