Khamis, 8 Ogos 2019 | 7:40pm
Foto hiasan.

Dua maut, enam cedera, pangkalan tentera di Russia meletup

MOSCOW: Dua maut dalam satu kejadian letupan di sebuah pangkalan tentera yang digunakan untuk menguji peluru berpandu di utara Russia hari ini, kata kementerian pertahanan dalam satu kenyataan kepada agensi berita.

“Ketika satu ujian dijalankan ke atas bahan pendorong cecair enjin jet, letupan berlaku menyebabkan peralatan terbabit terbakar,” kata kementerian.

“Akibatnya enam kakitangan kementerian pertahanan dan seorang pemaju tercedera.”

Menurut kementerian dua pakar terbunuh selepas mengalami cedera parah namun tahap radiasi berhampiran kelengkapan itu berada pada paras normal.

“Tiada pencemaran radiasi,” kata seorang jurucakap pangkalan tentera yang terletak di wilayah Arkhangelsk kepada AFP.

Kemalangan itu adalah yang kedua dialami tentera Russia dalam masa kurang seminggu.

Isnin lalu, sebuah depot simpanan senjata di Siberia meletup selepas berlaku kebakaran.

Sekurang-kurangnya seorang terbunuh, lapan cedera serta ribuan lagi terpaksa dipindahkan dari kediaman mereka susulan kebakaran di depot yang terletak di wilayah Krasnoyarsk itu. - AFP

Berita Harian X