Sabtu, 10 Ogos 2019 | 12:37pm
Gambar fail/hiasan, pegawai pasukan khas Nigeria menaiki kapal semasa latihan anti-lanun pada bulan Mac. - Foto GettyImage

10 kelasi kapal Turki ditawan lanun dibebaskan

ISTANBUL : Seramai 10 kelasi Turki yang diculik lanun di perairan Nigeria bulan lalu dibebaskan hari ini, kata agensi berita Anadolu.

Kesemua kelasi berkenaan, digambarkan Anadolu sebagai berada dalam keadaan sihat, ditawan sekumpulan lelaki bersenjata yang menyerang kapal kargo Paksoy-1 milik Turki di bawah kendalian syarikat perkapalan Kadioglu Denizcilik.

Tiada sebarang maklumat lanjut diperoleh setakat ini berhubung pembebasan semua tawanan.

Sebuah syarikat yang memetik kenyataan media Turki bulan lalu berkata, kapal berkenaan diserang lanun ketika dalam perjalanan dari Cameroon ke Ivory Coast.

Ia bagaimanapun tidak membawa sebarang muatan.

Kumpulan lanun lazimnya menjadikan kelasi sebagai tawanan untuk mendapatkan tebusan.

Kerajaan Nigeria melaporkan 14 serangan lanun bagi suku pertama 2019 berbanding 22 sepanjang waktu sama tahun lalu.

Laporan Biro Maritim Antarabangsa (IMB) pada April berkata, penurunan kes disumbangkan oleh peningkatan usaha tentera laut Nigeria yang bertindak ke atas setiap laporan diterima. - AFP

437 dibaca
Berita Harian X