Ahad, 18 Ogos 2019 | 12:24pm
Sebahagian penunjuk perasaan Hong Kong mengadakan demonstrasi di London, Britain. - Foto REUTERS

Tunjuk perasaan Hong Kong 'berkembang' ke Eropah

LONDON : Penyokong tunjuk perasaan di Hong Kong berarak di London semalam dan pada masa sama, penyokong China turut membalas dengan aktiviti serupa.

Lebih daripada seribu peserta mengambil bahagian dalam dua demonstrasi di ibu negara Britain itu.

Kumpulan penyokong aktivis Hong Kong membawa kain rentang bertulis ‘Apakah Britain akan menuntut China menunaikan janji untuk kebebasan Hong Kong’, ‘Kuasa kepada rakyat: berdiri bersama Hong Kong’ dan ‘Apakah Boris akan menyerah kepada China?’, merujuk kepada Perdana Menteri baharu Britain, Boris Johnson.

Peserta lain pula membawa kain rentang bertulis ‘lada yang saya hanya mahu hanya dalam mi sup’, ‘SOS : tolong selamatkan Hong Kong’ dan ‘Tiada ekstradisi ke China’.

Perhimpunan berkenaan dianjurkan kumpulan StandwithHK dan D4HK yang turut mengajak peserta mengibarkan bendera lama kolonial British digunakan sewaktu memerintah Hong Kong.


Demonstrasi oleh penunjuk perasaan China yang menyokong penunjuk perasaan Hong Kong, di tengah London, Britain. - Foto REUTERS

Britain menyerahkan semula pemerintahan Hong Kong ke tangan China pada 1997 atas dasar Deklarasi Bersama yang ditandatangani bersama Beijing, dengan jaminan kemerdekaan untuk wilayah separa autonomi itu sehingga 2047.

Kumpulan penyokong China pula membawa bendera negara itu dan menjulang sepanduk bertulis ‘pengkhianat’, ‘satu negara satu China’ dan ‘Hong Kong selamanya sebahagian daripada China’.

Sementara itu di Paris, kira-kira 50 peserta disertai rakyat Hong Kong, China dan Taiwan melakukan demonstrasi sebagai menyatakan sokongan kepada peserta tunjuk perasaan di bekas koloni British itu dengan melaungkan slogan ‘kebebasan untuk Hong Kong dan ‘kebebasan untuk China’. - AFP

Berita Harian X