Ahad, 18 Ogos 2019 | 1:00pm
SATU lokasi pergunungan di Gran Canaria terbakar. - Foto REUTERS
SATU lokasi pergunungan di Gran Canaria terbakar. - Foto REUTERS

Kebakaran baharu landa Gran Canaria, penduduk terpaksa berpindah

MADRID : Pihak berkuasa di pulau Gran Canaria bersiap sedia memindahkan lebih ramai penduduk semalam berikutan satu lagi kebakaran yang tercetus, beberapa hari selepas kawasan itu dilanda kejadian sama.

Terdahulu lewat semalam, pihak berkuasa pulau berkata, mereka sudah memindahkan penduduk di kawasan Cross of Tajeda, satu lokasi pergunungan yang terkenal dengan pemandangan indah di tengah Gran Canaria dan hotel mewah berhampiran.

Tidak lama kemudian, mereka memaklumkan bahawa penduduk di perkampungan Tejeda dan beberapa daerah lain turut akan dipindahkan.

Tidak dapat dipastikan berapa ramai individu terkesan dengan kejadian terbabit tetapi Tejeda memiliki populasi kurang daripada 2,000 penduduk.

Pihak berkuasa memaklumkan, mereka sudah menutup semua jalan berhampiran kebakaran itu.

“Sila tinggalkan tempat ini,” kata mereka, memberi amaran.

Kebakaran terbaru berkenaan berlaku lima hari selepas pihak bomba berjaya mengawal api di kawasan sama di gugusan Pulau Canary yang memaksa ratusan penduduk dipindahkan.

Pada ketika itu, perkhidmatan kecemasan memberi amaran bahawa angin kencang dan suhu panas melampau boleh mencetuskan satu lagi kebakaran.

Menurut jabatan bomba Gran Canaria, helikopter sudah dikerah ke lokasi kejadian bagi membantu memadamkan kebakaran. - AFP

Berita Harian X