Selasa, 20 Ogos 2019 | 8:16pm
Perdana Menteri Finland, Antti Rinne
Perdana Menteri Finland, Antti Rinne

EU tidak akan runding semula Brexit dengan Britain

BRUSSELS: Perdana Menteri Finland, Antti Rinne memaklumkan rakan sejawatannya dari Britain, Boris Johnson, bahawa Kesatuan Eropah (EU) tidak akan merunding semula perjanjian Brexit, kata seorang jurucakap pemimpin itu hari ini.

Finland kini memegang kerusi presiden EU secara bergilir dan Johnson membuat cubaan baharu merayu blok 28 negara itu supaya menimbang semula perjanjian pemisahan.

“Perdana Menteri Antti Rinne mengulangi bahawa Perjanjian Pengunduran tidak akan dibuka semula,” kata jurucakapnya menambah perbualan itu berlaku semalam.

Dalam perkembangan berkaitan, EU memberi maklum balas dingin terhadap surat Johnson menuntut supaya pelan sokongan sempadan Ireland dibatalkan demi mencapai perjanjian Brexit, mengatakan beliau tidak menawarkan sebarang alternatif yang boleh dilaksanakan.

“Surat itu tidak memberi penyelesaian perundangan bagi menghalang kembalinya sempadan di pulau Ireland,” kata jurucakap Suruhanjaya Eropah Natasha Bertaud.

Surat Johnson kepada Presiden Majlis EU, Donald Tusk menegaskan, Britain mahukan satu perjanjian Brexit namun berkata, pembukaan sempadan itu dianggap ‘anti-demokratik’ dan perlu digugurkan.

Tusk berkata, Johnson tidak memberi cadangan realistik dan EU mengambil pendekatan serupa walaupun pemimpin paling berkuasa blok itu, Presiden Perancis Emmanuel Macron dan Canselor Jerman, Angela Merkel, belum mengulas. -Reuters/AFP

Berita Harian X