Khamis, 29 Ogos 2019 | 9:07am
Pemimpin Parti Kebangsaan Scotland (SNP) Westminster Ian Blackford (tengah) dan perwakilan parti-parti politik pro-EU lain di Britain, bergambar selepas menandatangani deklarasi balas pihak berikutan pertemuan untuk membincangkan Brexit, di Church House, London, semalam. - Foto AFP

PM Britain cetus kemarahan cuba gantung Parlimen

LONDON: Perdana Menteri Britain, Boris Johnson, mencetuskan kemarahan golongan pro-Eropah dan ahli Parlimen yang menentang Brexit tanpa perjanjian dengan memaksa Parlimen digantung beberapa minggu sebelum tarikh pengunduran Britain dari Kesatuan Eropah (EU).

Mata wang pound merosot susulan berita mengejutkan itu, yang disifatkan pembangkang sebagai ‘rampasan kuasa’ dan ‘perisytiharan perang’ tetapi Johnson mendakwa ia penting bagi membolehkan beliau meneruskan agenda baharu domestik.

Ia berlaku sehari selepas parti pembangkang berikrar mendapatkan perubahan perundangan untuk menghalang Brexit tanpa perjanjian.

Ratu Elizabeth II meluluskan permintaan menamatkan sesi Parlimen paling panjang dalam masa hampir 400 tahun pada minggu kedua September, dan membukanya semula pada 14 Oktober ini, dua minggu sebelum tarikh Brexit.

Ribuan penduduk mengadakan bantahan di London, Manchester, Edinburgh dan bandar raya lain, manakala petisyen atas talian membantah keputusan itu berjaya mengumpulkan lebih sejuta tandatangan dalam masa beberapa jam lewat semalam.

Pada perhimpunan terbesar, orang ramai berkumpul berhampiran Parlimen di London sambil melaungkan ‘hentikan rampasan kuasa’ dan mengibarkan bendera EU.

“Parlimen akan ada peluang membahaskan program kerajaan keseluruhannya dan pendekatan kepada Brexit,” Johnson yang mengetuai parti Konservatif, berjanji dalam surat kepada ahli Parlimen.

Bagaimanapun, keputusannya membangkitkan kemarahan ahli perundangan yang menentang idea Britain meninggalkan EU tanpa perjanjian pada 31 Oktober ini ketika mereka kesuntukan masa untuk cuba mengelakkan senario itu.

Pemimpin Parti Buruh, Jeremy Corbyn, mengecam langkah itu sebagai ‘menghancurkan demokrasi’ dan mengulangi beliau akan melancarkan undi tidak percaya dalam kerajaan pimpinan Johnson. — AFP

Berita Harian X