Selasa, 10 September 2019 | 7:35am
- Foto Hiasan

Lelaki warga emas maut ditanduk lembu jantan

MADRID: Seorang lelaki maut ditanduk seekor lembu jantan semalam, menjadikan beliau orang kedua terbunuh pada festival lembu jantan di negara itu dalam tempoh kurang daripada dua minggu, kata pihak berkuasa.

Insiden berkenaan berlaku ketika acara larian lembu jantan di pekan Horche, kira-kira 60 kilometer di timur laut Madrid.

Menurut pasukan kecemasan tempatan, haiwan terbabit menanduk mangsa yang berusia 82 tahun itu di bahagian perut dan paha.

Mangsa dibawa ke hospital berdekatan menggunakan ambulans namun meninggal dunia tidak lama kemudian.

Media tempatan melaporkan, mangsa hanya menonton acara itu dari jauh, sebelum kejadian ngeri itu berlaku.

“Saya hanya melihat mangsa apabila beliau sudah terbaring di tanah namun pemandangan itu amat menakutkan,” kata datuk bandar, Jose Manual Moral kepada media.

Acara berkenaan bagaimanapun akan diteruskan hari ini dan esok sebagai sebahagian daripada festival.

Seorang lelaki berusia 62 tahun maut pada 29 Ogos lalu apabila ditanduk di bahagian dada dan leher pada festival serupa di pekan Cuellar, tengah Sepanyol.

Larian lembu paling terkenal adalah pada festival San Fermin di Pamplona, utara Sepanyol yang menyaksikan ratusan pengunjung dari seluruh dunia berhimpun atas risiko sendiri di hadapan beratus ekor lembu jantan di sepanjang jalan utama bandar berkenaan.

Seramai lapan orang ditanduk manakala 35 lagi cedera tahun ini dalam festival terbabit yang dipopularkan oleh novel karya Ernest Hemingway pada 1926 bertajuk ‘The Sun Also Rises’.

Sekurang-kurangnya 16 pengunjung terbunuh dalam larian lembu jantan di San Fermin sejak 1911, dengan kematian terakhir berlaku pada 2009. - AFP

1075 dibaca
Berita Harian X