Khamis, 12 September 2019 | 8:17am
Singa mekanikal ciptaan Leonardo da Vinci yang dipamerkan di Institut Kebudayaan Itali di Paris. Foto AFP

Singa mekanikal karya Leonardo da Vinci dipamer di Paris

PARIS: Singa mekanikal terkenal ciptaan Leonardo da Vinci dipamerkan di sini, selama sebulan, bagi memperingati sumbangan mahaguru zaman Renaissance itu, selepas 500 tahun kematiannya.

Singa berukuran dua meter tinggi dan tiga meter panjang serta diperbuat daripada kayu dengan mekanisme logam, dihasilkan semula berdasarkan lakaran asas peninggalan da Vinci.

Ia dihasilkan oleh da Vinci atas arahan Paus Leo X bagi menghiburkan Raja Perancis ketika itu, Francois I.

Da Vinci yang meninggal dunia pada Mei 1519, dipercayai amat meminati elemen terbang pada burung, dan pemahaman terhadap mekanisme itu boleh membawa kepada penciptaan mesin terbang oleh manusia.

Sementara itu, singa berkenaan dipamerkan di Institut Kebudayaan Itali di Paris. - AFP

553 dibaca
Berita Harian X