Rabu, 18 September 2019 | 9:47am
Gambar fail di daerah Maungdaw, Rakhine, Myanmar menunjukkan pelarian Rohingya berkumpul di belakang pagar kawat duri di pusat perlindungan sementara di sempadan antara Myanmar dan Bangladesh. -Foto AFP
Gambar fail di daerah Maungdaw, Rakhine, Myanmar menunjukkan pelarian Rohingya berkumpul di belakang pagar kawat duri di pusat perlindungan sementara di sempadan antara Myanmar dan Bangladesh. -Foto AFP

Penilaian pakar perlu untuk dakwa Suu Kyi - Penyiasat PBB

GENEVA: Penyiasat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menggesa satu penilaian pakar untuk menentukan jika pemimpin awam Myanmar, Aung San Suu Kyi boleh dikaitkan secara undang-undang dalam dakwaan penderaan ke atas minoriti Islam Rohingya di negara itu.

Misi pencari fakta ke Myanmar, ditubuhan Majlis Hak Asasi Manusia PBB berkata, mereka tidak dapat menentukan sejauh mana tanggungjawab perlu digalas Suu Kyi dalam krisis Rohingya.

“Ia akan menjadi satu isu undang-undang sama ada wujud elemen bersalah di sini,” kata Pengerusi Misi Pencarian Fakta PBB, Marzuki Darusman kepada media.

Majlis Hak Asasi Manusia baru-baru ini mewujudkan satu panel bagi menyiapkan dakwaan jenayah terhadap pembunuhan beramai-ramai di Myanmar, apa yang digelar Mekanisme Bebas Antarabangsa untuk Myanmar (IIMM), yang memiliki kepakaran untuk menentukan tahap tanggungjawab Suu Kyi dalam krisis itu.

BEKAS ikon demokrasi, Aung San Suu Kyi. - Foto AFP
BEKAS ikon demokrasi, Aung San Suu Kyi. - Foto AFP

“Ia masih satu persoalan terbuka sejauh mana beliau boleh didakwa,” kata Marzuki.

Ketika ditanya jika pemimpin Myanmar itu mungkin didakwa beliau berkata, ia terpulang kepada proses undang-undang, sambil merujuk kepada IIMM.

Tahun lalu, misi pencarian faktar itu menggelar operasi ketenteraan pada Ogos 2017 sebagai genosid dan menggesa jeneral atasan Myanmar termasuk ketua tenteranya, Min Aung Hlaing, didakwa.

Kira-kira 740,000 etnik Rohingya lari dari perkampungan terbakar, menceritakan kisah pembunuhan, rogol dan penderaan di sempadan sehingga ke kem pelarian berselerak di Bangladesh, di mana pelarian terselamat daripada gelombang penderaan sebelumnya berlindung.

Dalam satu laporan diterbitkan kelmarin, penyiasat memberi amaran, 600,000 Rohingya yang masih berada dalam negeri Rakhine, Myanmar kekal dalam keadaan menyedihkan dan terus berisiko berdepan genosid.

Pakar memberitahu majlis hak asasi semalam, mereka memiliki senarai sulit 150 nama termasuk pegawai disyaki terbabit dalam genosid, jenayah ke atas kemanusiaan dan jenayah perang.

Marzuki berkata, penyiasat pada mulanya enggan menyalahkan Suu Kyi, yang menghabiskan bertahun dalam tahanan rumah sebelum partinya menang pilihan raya bebas Myanmar pada 2015.

Katanya, pasukan pencarian fakta itu mengambil kira bahawa Myanmar ‘melalui satu peralihan demokrasi dan justeru dalam laporan pertama, pihaknya mengetepikan Suu Kyi daripada bertanggungjawab secara langsung.’

“Namun ketika kemungkinan Suu Kyi tidak menyedari aktiviti tentera pada Ogos 2017, isu kini sekarang ialah, tiada lagi kenyataan dikeluarkan bagi pihak beliau,” kata Marzuki.

Seorang lagi anggota misi itu, Christopher Sidoti, mengakui ‘jelasnya pihak kerajaan awam tidak mengawal bahagian tentera namun kerajaan awam memiliki tanggungjawab perlembagaan sangat besar.’

“Lebih lama perkara ini berterusan, agak mustahil di pihak awam kerajaan untuk lari daripada tanggungjawab jenayah antarabangsa untuk situasi hak asasi manusia di Myanmar,” katanya. -AFP

Berita Harian X