Jumaat, 25 Oktober 2019 | 8:30pm
Pegawai polis memandu trak yang mana mayat 39 pelarian dipercayai warga China dijumpai di Waterglade Industrial Park di Grays, timur London, 23 Oktober lalu. -Foto AFP

Polis UK tahan 2 individu susulan penemuan 39 mayat

GRAYS: Polis United Kingdom yang menyiasat kematian 39 orang dipercayai rakyat China, ditemui dalam sebuah trak berhampiran London berkata, mereka menahan dua individu hari ini kerana disyaki terbabit dalam pemerdagangan manusia dan terus menyoal pemandu sebagai suspek pembunuh.

Ketika China menggesa Britain menghukum sekeras-kerasnya pihak yang terbabit dalam kematian itu, polis berkata, mereka menahan masing-masing seorang lelaki dan wanita berusia 38 tahun di Warrington, barat laut England kerana disyaki bersubahat menyeludup mangsa serta berdepan 39 tuduhan membunuh.

Pemandu trak berusia 25 tahun dari Utara Ireland masih ditahan selepas penemuan mengejutkan mayat di belakang trak sejuk beku miliknya di sebuah kawasan perindustrian berhampiran London pada awal pagi Rabu lalu.

Lelaki itu tidak dikenal pasti secara rasmi namun sumber rapat dengan siasatan menamakannya sebagai Mo Robinson dari Portadown di wilayah Britain itu. Detektif akan menentukan sama ada untuk mendakwa, membebaskan atau memohon mahkamah lebih masa untuk menyoalnya.

Lewat semalam, pihak berkuasa Britain memindahkan 11 daripada mangsa, 31 lelaki dan lapan wanita ke rumah mayat sebuah hospital di sini, sejauh 30 kilometer di timur London di mana mayat ditemui.

Pemeriksaan bedah siasat pada awalnya untuk mengenal pasti bagaimana mereka mati sementara pakar forensik berusaha mengenal pasti identiti mayat, yang mungkin mengambil masa lebih lama.

Kedutaan China di London berkata, ia menghantar pasukan bantuan ke Essex dan jurucakap Kementerian Luar China, Hua Chunying berkata, polis belum mengesahkan kerakyatan mangsa.

“Kami berharap pihak British dapat mengesah dan mengenal pasti identiti mangsa secepat mungkin, menentukan apa yang berlaku dan menghukum penjenayah terbabit dalam kes itu,” katanya dalam taklimat harian. -Reuters

Berita Harian X