Rabu, 6 November 2019 | 9:43pm
Kira-kira 180,000 penumpang Lufthansa terjejas susulan pembatalan 1,300 penerbangan untuk esok dan lusa. -Foto EPA

Lufthansa batal 1,300 penerbangan kerana kru kabin mogok

FRANKFURT AM MAIN: Syarikat penerbangan Jerman, Lufthansa berkata hari ini, ia membatalkan 1,300 penerbangan ketika kru kabinnya meneruskan mogok dua hari, menyebabkan perjalanan penumpang bertukar huru-hara di tengah pertelingkahan berhubung gaji dan situasi tempat kerja.

“Akibat tindakan mogok, kira-kira 180,000 penumpang terjejas susulan pembatalan 1,300 penerbangan,” kata syarikat dalam satu kenyataan selepas kalah perjuangan saat akhir di mahkamah untuk menghalang mogok.

Mogok selama 48 jam digesa kesatuan pramugari UFO dijangka bermula awal pagi Khamis sehingga pagi Sabtu waktu tempatan.

Kesatuan berkata, mogok itu akan menjejaskan semua penerbangan berlepas di Jerman ketika itu.

Syarikat penerbangan itu berkata, ia ‘kesal kerana menyusahkan penumpang.’

Katanya, syarikat akan berusaha mencari penerbangan alternatif untuk situasi mungkin, menambah penumpang terjejas boleh menempah semula perjalanan mereka secara percuma atau menukar penerbangan domestik untuk tiket kereta api.

Pengumuman pembatalan 700 penerbangan pada Khamis (esok) dan tambahan 600 lagi pada Jumaat dibuat selepas mahkamah buruh di sini menolak permohonan Lufthansa untuk mendapatkan perintah injunksi menghalang mogol. Mahkamah memutuskan mogok itu sah di sisi undang-undang. -AFP

Berita Harian X