Jumaat, 8 November 2019 | 8:21pm
Pasukan penyelamat melakukan rondaan di Utara England selepas hujan lebat selama sebulan. - Foto AFP

Penduduk Britain diarah berpindah akibat banjir

LONDON: Britain mengeluarkan lebih 100 amaran banjir, hari ini dengan penduduk di beberapa kawasan di Britain dinasihatkan supaya berpindah kerana nyawa mereka terancam, selepas hujan lebat selama sebulan turun hanya dalam tempoh 24 jam.

Puluhan orang terperangkap dalam sebuah pusat membeli belah di bandar Sheffield semalaman, selepas terkandas dan kira-kira 100 orang diselamatkan bomba dari pusat membeli belah berhampiran.

Menurut pihak berkuasa, kebimbangan utama adalah kediaman di lima kawasan sekitar Sungai Don berhampiran kawasan Doncaster kerana hujan berterusan menyebabkan banjir teruk, ketika paras air mencapai rekod serta mengancam nyawa.

“Penduduk di kawasan ini dinasihatkan berpindah segera. Kami menasihatkan mereka supaya berlindung dengan ahli keluarga atau kawan.

“Pusat perlindungan juga sudah ditubuhkan,” kata majlis perbandaran Doncaster.

Walaupun banjir paling serius melanda tengah dan utara Britain, terdapat lebih 100 amaran di seluruh negara itu di mana Agensi Alam Sekitar mengingatkan banjir mungkin berlaku. - Reuters

Berita Harian X