Selasa, 19 November 2019 | 7:49am
Gambia berkata, ia mahu ICJ mengumumkan langkah kecemasan segera ‘bagi melindungi Rohingya daripada bahaya akan datang.’ -Foto Agensi

ICJ dengar kes genosid Myanmar Disember

THE HAGUE: Gambia akan membuka kesnya terhadap Myanmar di mahkamah atasan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bulan depan, menuduh negara majoriti Buddha itu melakukan genosid terhadap Muslim Rohingya, kata tribunal itu semalam.

Negara kecil majoriti Islam di Afrika itu akan meminta Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) membuat injunksi kecemasan bagi melindungi Rohingya, sementara menunggu keputusan untuk menguruskan kes lebih besar.

Kes Gambia di ICJ adalah menuduh Myanmar melanggar Konvensyen Genosid PBB 1948 menerusi kempen kejam tentera menyasar minoriti Rohingya di Rakhine.

ICJ dalam satu kenyataan berkata, ia akan mengadakan pendengaran awam dalam kes itu antara 10 hingga 12 Disember depan.

“Pendengaran itu akan ditujukan terhadap permohonan pendakwaan dikemukakan Republik Gambia,” katanya.

Gambia berkata, ia memfailkan kes itu bagi pihak 57 negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Kira-kira 740,000 Muslim Rohingya terpaksa lari menyelamatkan diri ke dalam kem berselerak di Bangladesh selepas tindakan kejam tentera Myanmar pada 2017, dalam keganasan dikatakan penyiasat PBB bersamaan genosid.

Peguam Gambia berkata, ia mahu ICJ mengumumkan langkah kecemasan segera ‘bagi melindungi Rohingya daripada bahaya akan datang.’

Kes itu akan menjadi cubaan pertama perundangan antarabangsa membawa Myanmar ke muka pengadilan berhubung dakwaan jenayah ke atas Rohingya dan contoh jarang sebuah negara menyaman antara satu sama lain berhubung isu yang mana ia bukan pihak terbabit secara langsung.

ICJ ditubuhkan pada 1946 selepas Perang Dunia Kedua untuk menghakimi pertelingkahan antara negara anggota PBB.

Secara berasingan, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), satu lagi mahkamah berpusat di sini yang ditubuhkan pada 2002 untuk menyiasat jenayah perang, pada Khamis memberi kelulusan kepada ketua pendakwa rayanya untuk melancarkan siasatan penuh terhadap penganiayaan Rohingya.

Sementara itu, kumpulan hak asasi memfailkan satu tuntutan berasingan berkaitan Rohingya di Argentina yang mana bekas ikon demokrasi Myanmar, Aung San Suu Syi dinamakan.

Myanmar tidak memberi reaksi terhadap kes ICJ namun berkata minggu lalu, siasatan ICC ‘tidak menurut undang-undang antarabangsa.’

Walaupun bukan negara anggota ICC, mahkamah berkata, Myanmar masih boleh dipertanggungjawabkan atas jenayah itu kerana ia menjejaskan negara jiran Bangladesh. -AFP

Berita Harian X