Rabu, 20 November 2019 | 10:50am
Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus.

WHO dapat dana RM10.8 bilion basmi polio

LONDON: Penyumbang kerajaan dan dermawan menjanjikan sumbangan AS$2.6 bilion (RM10.8 bilion) membantu membiayai pelan penghapusan polio seluruh dunia yang mengambil masa beberapa dekad untuk mencapai apa yang disifatkan pakar kesihatan global sebagai ‘langkah terakhir’.

Dana itu, hampir separuh diperoleh daripada Yayasan Bill & Melinda Gates, akan digunakan untuk memberi suntikan imunisasi kepada 450 juta kanak-kanak menentang polio setiap tahun, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam kenyataan.

Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus, berkata dengan usaha untuk sampai kepada setiap kanak-kanak dengan vaksin menentang penyakit pembawa lumpuh itu, Inisiatif Pembasmian Polio Global (GPEI) semakin hampir untuk mencapai dunia bebas polio.

WHO, bulan lalu mengumumkan ‘langkah bersejarah’ dalam usaha membasmi polio, mengesahkan peringkat kedua daripada tiga jenis virus polio sudah dihapuskan di seluruh dunia.

Kes polio global dikurangkan lebih 99 peratus sejak 1988 tetapi virus polio jenis 1 masih menjadi wabak di Pakistan dan Afghanistan, menjangkiti 102 orang tahun ini.

Ia adalah kemunculan semula daripada cuma 22 kes pada 2017 di seluruh dunia.

Polio menyerang sistem saraf dan boleh menyebabkan kelumpuhan dalam masa beberapa jam.

Ia tidak boleh dirawat tetapi boleh dielak dengan vaksin, dan penurunan dramatik kes di seluruh dunia dicetuskan kempen giat imunisasi bagi bayi dan kanak-kanak. — Reuters

Berita Harian X