Khamis, 21 November 2019 | 9:59am
PUTERA Andrew. - Foto Reuters

Jaga nama keluarga, Putera Andrew tarik diri daripada tugas awam

LONDON: Putera Andrew meletak jawatan daripada menjalankan tugas awam semalam, mendakwa, kontroversi ‘tidak adil’ mengenai hubungannya dengan bekas pakar kewangan Amerika Syarikat (AS), mendiang Jeffrey Epstein, menyebabkan gangguan besar kepada tugas keluarga diraja.

Anak lelaki kedua Ratu Elizabeth itu menafikan dakwaan beliau mengadakan hubungan seks dengan gadis 17 tahun disediakan untuknya oleh Epstein, yang membunuh diri dalam penjara di AS Ogos lalu ketika menunggu perbicaraan atas dakwaan pemerdagangan seks.

Skandal memuncak sejak penjelasan panjang lebar oleh Andrew dalam temu bual BBC TV yang disiarkan Sabtu lalu, menyebabkan ramai penonton tidak percaya, dan kekurangan simpati kepada mangsa Epstein mengundang kritikan terhadap putera raja itu.

Ketika berita itu menguasai tajuk utama berita masuk hari keempat dan beberapa perniagaan mula menjauhkan diri dari pertubuhan dan badan kebajikan yang ada kaitan dengannya, Andrew berkata dirinya akan berundur dari kehidupan awam buat masa ini dan bercakap dengan polis mengenai Epstein.

“Semakin jelas kepada saya sejak beberapa hari lalu, hubungan saya dengan Jeffrey Epstein menjadi gangguan besar kepada tugasan keluarga saya.

“Oleh itu, saya memohon kepada Ratu untuk berundur daripada tugasan umum pada masa depan dan beliau membenarkan,” kata Andrew, 59, dalam kenyataan yang dikeluarkan Istana Buckingham.

Putera raja yang memakai gelaran Duke of York itu, berkata beliau sedia membantu agensi penguat kuasa undang-undang dalam siasatan mereka, jika diperlukan.

Tindakan Andrew membayangi kempen pilihan raya Parlimen Britain pada 12 Disember ini.

Andrew, yang disebut sebagai kesayangan ratu, dipantau kerana berhubung rapat dengan Epstein sejak beberapa tahun lalu. — Reuters

Berita Harian X