Khamis, 21 November 2019 | 11:30am
Anggota polis menahan seorang lelaki selepas menikam mati anak lelaki bekas Presiden Jerman yang juga seorang doktor ketika memberi ceramah di Hospital Schlosspark kelmarin. -Foto AFP

Anak lelaki bekas Presiden Jerman ditikam pesakit mental

FRANKFURT AM MAIN: Seorang penyerang menikam hingga mati anak lelaki bekas Presiden Jerman, Richard von Weizsaecker dalam serangan di sebuah hospital di Berlin yang turut menyebabkan seorang lagi mangsa parah.

Mangsa, Dr Fritz von Weizsaecker baharu menyampaikan ucapan mengenai penyakit hati di Hospital Schlosspark di kejiranan barat Berlin di Charlottenburg malam kelmarin apabila ditikam di leher.

Polis berkata, bapa empat anak berusia 59 tahun itu maut di tempat kejadian walaupun usaha menyelamatkannya dilakukan.

Penyerang yang berpisau ditumpaskan oleh hadirin dalam majlis itu dengan seorang daripadanya parah ketika membantu.

Pendakwa raya berkata, penyerang berusia 57 tahun dari Rhineland-Palatinate di barat Jerman, berkunjung ke Berlin dengan menaiki kereta api.

Penyerang didiagnosis dengan ‘sakit mental akut’ dan kemungkinan ‘berhalusinasi membenci’ keluarga Weizsaecker.

Anak lelaki bekas Presiden Jerman, Dr Fritz von Weizsaecker mati ditikam lelaki sakit mental di Berlin. -Foto EPA

Richard von Weizsaecker dianggap antara individu hebat dalam politik pasca perang Jerman.

Majalah Spiegel berkata, suspek membuat carian peranan bekas presiden yang menganggotai ahli lembaga pengarah syarikat gergasi kimia, Boehringer Ingelheim pada 1960-an sebelum memulakan kerjaya politiknya.

Syarikat itu dilaporkan membekalkan bahan kimia dalam ‘Agent Orange’, senjata biologi berkuasa kepada Amerika Syarikat (AS) bagi Perang Vietnam yang menyebabkan masalah kesihatan teruk sesiapa yang terdedah kepadanya.

Weizsaecker menjadi Presiden Jerman Barat dari 1984 hingga 1990 dan kemudian memegang jawatan sama dalam Jerman bersatu dari 1990 hingga 1994.

Beliau sebelum itu menjadi timbalan dewan rendah parlimen untuk Parti CDU yang kini diketuai Canselor Angela Merkel dan datuk bandar Berlin Barat. Pemimpin itu meninggal dunia pada 2015. - AFP

Berita Harian X