Sabtu, 23 November 2019 | 8:00pm
Gambar fail, pegawai kesihatan dan keselamatan Britain memerika kontena sejuk beku yang terdapat mayat 39 rakyat Vietnam, bulan lalu. - Foto Reuters
Gambar fail, pegawai kesihatan dan keselamatan Britain memerika kontena sejuk beku yang terdapat mayat 39 rakyat Vietnam, bulan lalu. - Foto Reuters

Remaja Vietnam mati di Britain pernah mohon suaka

THE HAGUE: Seorang daripada 39 rakyat Vietnam yang dijumpai meninggal dunia di dalam trak sejuk beku di Britain bulan lalu adalah remaja yang hilang daripada pusat perlindungan pencari suaka dari Belanda, lapor akhbar tempatan, hari ini.

Akhbar harian Algemeen Dagblad melaporkan, remaja yang umur dan nama tidak didedahkan itu, mayatnya dijumpai bersama mayat lain berhampiran pelabuhan Purfleet, England pada 23 Oktober lalu.

“Remaja lelaki itu melarikan diri daripada tempat perlindungan yang lebih selamat untuk mencari suaka yang tidak pasti,” lapor akhbar itu dengan memetik sumber COA, organisasi kerajaan Belanda yang bertanggungjawab mengurus pelarian.

COA menolak untuk mendedahkan nama mangsa, tetapi akhbar itu mendedahkan hasil siasatan menunjukkan remaja itu hilang daripada pusat perlindungan pencari suaka di selatan wilayah Limburg.

Laporan akhbar itu turut mendedahkan enam remaja lain yang turut hilang daripada pusat itu pada Ogos lalu, menyebabkan polis melakukan operasi mencari secara besar-besaran menggunakan helikopter.

Bagaimanapun, COA menolak kaitan kehilangan itu dengan enam remaja yang menjadi mangsa di Britain.

Mayat lapan wanita dan 31 lelaki ditemui di dalam trak sejuk beku di kawasan perindustrian di timur London, dengan seorang daripadanya adalah remaja berusia 15 tahun bernama Nguyen Huy Hung.

Trak itu dikatakan tiba dengan menaiki feri kargo dari pelabuhan Zeebrugge, Belgium. - AFP

Berita Harian X