Isnin, 25 November 2019 | 1:50pm
Penduduk menaiki bot kecil selepas jalan raya dinaiki air di Le Muy, tenggara Perancis, semalam. -Foto AFP
Penduduk menaiki bot kecil selepas jalan raya dinaiki air di Le Muy, tenggara Perancis, semalam. -Foto AFP
Helikopter perkhidmatan awam membuat tinjauan udara keadaan banjir susulan hujan lebat di Le Luc, tenggara Perancis, semalam. -Foto AFP
Helikopter perkhidmatan awam membuat tinjauan udara keadaan banjir susulan hujan lebat di Le Luc, tenggara Perancis, semalam. -Foto AFP
Anggota pertahanan awam Perancis mengambil bahagian dalam operasi menyelamat ketika banjir di Le Muy, tenggara Perancis, semalam. -Foto AFP
Anggota pertahanan awam Perancis mengambil bahagian dalam operasi menyelamat ketika banjir di Le Muy, tenggara Perancis, semalam. -Foto AFP

3 maut, hujan lebat landa utara Itali, selatan Perancis

VENICE: Hujan lebat di seluruh kawasan utara Itali dan selatan Perancis mengorbankan tiga orang hujung minggu lalu, menghanyutkan sebahagian jambatan lebuh raya di utara Itali dan mencetuskan banjir di bandar ini semalam.

Hujan lebat yang menyebabkan sekurang-kurangnya tiga maut dan dua hilang di dua negara terbabit, adalah insiden terbaharu gelombang cuaca melampau selama dua minggu di rantau berkenaan.

Sebahagian jambatan menghubungkan lebuh raya A6 di Itali berhampiran Savona di rantau utara Liguaria antara Turin dan Perancis dihanyutkan banjir lumpur, menyebabkan lubang 30 meter terbentuk di jalan raya.

Sebahagian jambatan lebuh raya A6 antara Turin dan Savona di Itali runtuh susulan banjir lumpur, semalam. -Foto AFP
Sebahagian jambatan lebuh raya A6 antara Turin dan Savona di Itali runtuh susulan banjir lumpur, semalam. -Foto AFP

Perkhidmatan kecemasan tidak menemui mangsa di tempat kejadian namun anjing pengesan dan helikopter memeriksa kawasan itu.

Gambar kerosakan itu mengingatkan semula insiden runtuhnya jambatan Morandi di Genoa pada 2018, sejauh 50 kilometer dari situ yang meragut 43 nyawa.

Di rantau Piedmont, seorang wanita 52 tahun yang hilang selepas kenderaannya dihanyutkan apabila sebatang sungai melimpah, ditemui mati semalam. Media tempatan melaporkan, dua lagi penumpang dalam kenderaan berjaya menyelamatkan diri.

Rantau terjejas teruk di Itali ialah Alessandria, terletak di selatan Turin, di mana 200 orang dipindahkan dan 600 lagi terkandas. Seorang wanita dilaporkan hilang, kata media Itali.

Penduduk berjalan melalui kawasan banjir di Le Muy, tenggara Perancis, semalam. -Foto AFP
Penduduk berjalan melalui kawasan banjir di Le Muy, tenggara Perancis, semalam. -Foto AFP

Tambahan 500 lagi dipindahkan di utara Aosta Valley, di mana jalan ditutup kerana risiko runtuhan salji.

Di pantai timur, Venice sekali lagi dilanda banjir yang melumpuhkan bandar itu sejak beberapa hari lalu, walaupun paras air jauh di bawah paras dicapai 12 November lalu.

Datuk Bandar Venice berkata, kerosakan akibat banjir awal bulan ini mungkin mencecah sejuta euro (RM4.6 juta), menyalahkan bencana itu akibat perubahan cuaca.

Di Perancis, dua orang maut dan sekurang-kurangnya seorang hilang ketika banjir menghanyutkan kenderaan dan menukar jalan raya kepada sungai.

Satu mayat ditemui di perkampungan Le Muy, terletak di utara pantai Mediterranean Perancis, kata pihak berkuasa tempatan di rantau selatan Var.

Mayat ditemui berhampiran bot getah penyelamat yang membawa tiga anggota bomba dan tiga orang awam karam Sabtu lalu, dengan seorang mangsa dilaporkan hilang.

Mayat kedua, seorang lelaki berusia 50-an, ditemui di perkampungan Cabasse dalam sebuah kereta, kata pihak berkuasa tempatan manakala seorang lelaki 70-an masih hilang di perkampungan Saint-Antonin-du-Var selepas keluar ketika hujan lebat. -AFP

Berita Harian X