Ahad, 1 Disember 2019 | 9:57am
Gambar fail, Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia PBB, Michelle Bachelet pada sidang media, di Hotel Ritz-Carlton, Kuala Lumpur, Oktober lalu. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

China tuduh PBB campur tangan hal ehwal domestik

GENEVA: China menuduh ketua hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Michelle Bachelet, campur tangan ‘secara tidak wajar’ dalam hal ehwal negara itu selepas menggesa siasatan mengenai penggunaan kekerasan melampau oleh polis di Hong Kong.

Misi China ke PBB di Geneva berkata, tulisan Bachelet dalam akhbar South China Morning Post adalah salah dan melanggar matlamat dan prinsip Piagam PBB.

“Artikel mengandungi komen tidak wajar mengenai keadaan di Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong, campur tangan dalam hal ehwal dalaman China,” menurut kenyataan misi China.

Ia menambah, China membuat bantahan keras di pejabat hak asasi manusia PBB di Geneva.

Pasukan polis anti rusuhan memberi laluan pada jalan yang dihalang oleh penunjuk perasaan pro-demokrasi semasa perhimpunan di Mongkok, Hong Kong, China. - Foto EPA

Dalam artikel yang disiarkan awal semalam, Bachelet menggesa pihak berkuasa di Hong Kong supaya mengadakan siasatan bebas dan adil mengenai laporan penggunaan kekerasan melampau oleh polis.

Bantahan di Hong Kong disemarakkan oleh perasaan marah selama bertahun-tahun berhubung kemerosotan kebebasan di bandar raya separuh autonomi itu.

Pertempuran ganas berulang antara polis dan penunjuk perasaan yang menggesa polis bertanggungjawab dan pilihan raya bebas sepenuhnya.

Beijing menafikan ia menyekat kebebasan Hong Kong dan menyifatkan bantahan sebagai revolusi berwarna-warni disokong negara luar bertujuan mengganggu kestabilan di tanah besar China. — AFP

Berita Harian X