Jumaat, 13 Disember 2019 | 8:40am
- Foto AFP

Masa untuk putuskan Brexit

London: Rakyat Britain keluar mengundi semalam dengan masa depan Brexit masih terumbang-ambing dalam pilihan raya awal sebelum Krismas menyasar meletakkan penamat selepas bertahun dilanda kebuntuan politik dan perpecahan mendalam.

Lebih 4,000 stesen pengundian di seluruh England, Scotland, Wales dan Ireland Utara termasuk kincir angin, pub dan kedai runcit membuka pintu untuk dijadikan tempat mengundi disifatkan sebagai paling penting dalam satu generasi.

Satu kemenangan buat Perdana Menteri Boris Johnson (gambar) kemungkinan menamatkan pembabitan 46 tahun Britain dalam Kesatuan Eropah (EU) bulan depan, menetapkan negara itu ke arah masa depan baharu berdasarkan hubungan rapat dengan Amerika Syarikat (AS) dan malah China.

Namun kemenangan buat pembangkang pro-EU mungkin menterbalikkan proses Brexit dan memberi kerajaan haluan kiri Britain yang berdekad diketuai sosialis veteran Jeremy Corbyn, komited kepada nasionalisasi semula dan perbelanjaan besar-besaran sektor awam.

“Bagi mereka. Undi Buruh,” kata akhbar pro-Corbyn, Daily Mirror pada tajuk muka depan, menunjukkan gambar golongan gelandangan tidur di jalanan dan jururawat di hospital yang kurang kakitangan.

Suasana di pusat kiraan undi di Belfast. - Foto AFP

“Selamatkan Brexit. Selamatkan Britain,” kata akhbar pro-Johnson, Sun pada muka depannya.

Johnson sendiri memaklumkan, pilihan raya itu agak sengit dengan tinjauan menunjukkan beliau mendahului, namun kemungkinan dengan margin terlalu kecil untuk membentuk kerajaan sendiri.

Cuaca sejuk dengan ramalan suhu hampir beku, hujan dan malah salji di sesetengah bahagian negara itu mungkin menjejaskan kehadiran pengundi dalam pilihan raya pertama pada Disember untuk tempoh hampir sekurun.

Bakal menjadi rebutan adalah 650 kerusi Parlimen yang buntu sejak pungutan suara keanggotaan EU pada 2016, menyaksikan majoriti tipis untuk keluar dari blok 28 negara itu.

Petunjuk pertama keputusan pilihan raya keseluruhan adalah menerusi tinjauan selepas undian pada jam 10 malam waktu tempatan manakala keputusan sebenar dijangka diterima bermula jam 11 malam.

Johnson, yang mengambil alih jawatan daripada Theresa May pada Julai selepas gagal mendapatkan kelulusan perjanjian pemisahan EU Parlimen, berharap memperoleh mandat dan majoriti.

“Bayangkan betapa indahnya masalah diselesaikan sambil menikmati hidangan makan malam Krismas selepas Brexit diputuskan,” kata Johson dalam mesej akhir kepada pengundi.

Satu kejayaan buat Buruh mungkin menjadikan Corbyn perdana menteri pertama parti itu sejak Gordon Brown pada 2010 dan pada usia 70-an, pemimpin tertua sejak Viscount Palmerston pada 1855.

Bulan lalu, peninjau YouGov meramalkan parti Konservatif pimpinan Johnson memperoleh majoriti selesa 68 kerusi namun pada Selasa lalu menjangka ramalan itu dikurangkan kepada 28 kerusi. - AFP

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X