Khamis, 19 Disember 2019 | 8:50pm
Presiden Russia, Vladimir Putin mendakwa Demokrat Amerika Syarikat (AS) mengundi tidak percaya Presiden Donald Trump atas sebab ‘palsu’ dalam usaha mengatasi kemenangan pilihan raya beliau pada 2016. - Foto AFP
Presiden Russia, Vladimir Putin mendakwa Demokrat Amerika Syarikat (AS) mengundi tidak percaya Presiden Donald Trump atas sebab ‘palsu’ dalam usaha mengatasi kemenangan pilihan raya beliau pada 2016. - Foto AFP

Kes pendakwaan Trump dipalsukan - Putin

MOSCOW: Presiden Russia, Vladimir Putin berkata, anggota Demokrat Amerika Syarikat (AS) membuat pendakwaan ke atas Presiden Donald Trump atas sebab ‘palsu’ dalam usaha membalikkan kemenangan pilihan raya beliau pada 2016.

Bercakap dalam sidang media akhir tahun, Putin menjangka Trump bebas daripada prosiding itu dan mengekalkan jawatannya.

Dewan Perwakilan AS mengundi untuk mendakwa Trump, semalam, namun Putin seperti pemerhati lain berkata, Senat yang dikuasai Republikan akan melepaskan beliau.

“Mustahil mereka mahu memecat wakil parti sendiri daripada berkuasa berdasarkan pandangan saya, atas sebab ‘palsu’.

“Ia hanyalah perbalahan politik dalaman AS di mana satu parti kalah pilihan raya iaitu parti Demokrat dan ia tidak boleh menjadi asas undi tidak percaya.

“Mula-mula mereka menuduh Trump berkonspirasi dengan Russia. Kemudian ia bukan konspirasi dan tidak boleh menjadi asas pemecatan. Kini mereka bermimpi mengenai tekanan dikenakan terhadap Ukraine,” kata Putin. - Reuters

Berita Harian X