Ahad, 19 Januari 2020 | 6:06pm
Tempoh dua minggu sebelum Britain meninggalkan Kesatuan Eropah atau dikenali sebagai Brexit. - Foto hiasan
Tempoh dua minggu sebelum Britain meninggalkan Kesatuan Eropah atau dikenali sebagai Brexit. - Foto hiasan

Episod baharu Brexit: Perjanjian perdagangan 'mustahil'

BRUSSELS: Tempoh dua minggu sebelum Britain meninggalkan Kesatuan Eropah (EU) atau dikenali sebagai Brexit, diplomat Eropah bersedia untuk ke fasa seterusnya membabitkan rundingan tegang dalam membincangkan masa depan negara itu selepas keluar daripada EU.

Brussels bersedia untuk pusingan baharu pertembungan Brexit, di mana Perdana Menteri Britain, Boris Johnson, yang sangat yakin selepas meraih kemenangan pada pilihan raya Disember lalu dan berasa seolah-olah 'dihidupkan semula'.

Sepanjang kempennya, Johnson berkata, pihaknya akan memeterai perjanjian perdagangan pada 31 Disember iaitu tarikh akhir yang ditetapkan oleh perjanjian keluar EU-United Kingdom (UK), walaupun London boleh memohon tempoh itu dipanjangkan dari setahun ke dua tahun lagi.

Itu menandakan hakikat pertama EU diterima dengan berat hari.

Mereka tidak lagi menjangkakan Johnson meminta untuk penangguhan, bermakna hanya tinggal lapan bulan daripada Mac ke Oktober untuk mencapai persetujuan bagi membolehkannya untuk diratifikasi.

"Ia adalah tugas yang mustahil. Menjelang hujung tahun, kita berupaya mendapatkan rangka perjanjian perdagangan itu termasuk sesuatu mengenai keselamatan dalaman dan asing, tetapi tidak ada jaminan," kata seorang diplomat Eropah.

Perbincangan itu boleh dimulakan sebaik sahaja semua menteri EU bersetuju terhadap mandat bersama pada 25 Februari ini.

Kempen Johnson yang menjanjikan 'untuk memastikan Brexit selesai', sekali gus menyingkirkan matlamat Perdana Menteri sebelumnya untuk menjalinkan hubungan erat dengan Eropah dan meminimumkan gangguan ekonomi melintasi sempadan.

Kerajaan di bawah pentadbiran Theresa May sebelum ini mencadangkan 'penjajaran dinamik', di mana London akan mengikut undang-undang EU dalam alam sekitar, bantuan kerajaan dan piawaian lain bagi membolehkan syarikat UK memiliki akses mudah ke Eropah.

Johnson sebaliknya meneruskan dengan dasar mencari lebih banyak perjanjian perdagangan minimum yang berusaha mendapatkan sifar tarif dan kuota barangan.

"Perdana Menteri dengan jelas menyatakan bahawa beliau mahukan perjanjian perdagangan bebas seperti yang diamalkan Kanada tanpa penjajaran," kata pegawai rasmi UK. - AFP

Berita Harian X