Sabtu, 1 Februari 2020 | 10:59am
Britain meninggalkan Kesatuan Eropah semalam. - Foto Reuters
Britain meninggalkan Kesatuan Eropah semalam. - Foto Reuters

Era baharu Britain selepas tinggalkan EU

LONDON: Britain meninggalkan Kesatuan Eropah (EU) semalam, mengakhiri kerjasama empat dekad dalam aspek ekonomi, politik dan perundangan bersama jiran terdekat mereka.

Namun keadaan masih sama untuk beberapa bulan lagi, susulan waktu peralihan yang bertujuan membolehkan kedua pihak beroleh masa bagi mencapai persetujuan untuk hubungan kerjasama pada masa akan datang.

Britain meninggalkan EU atau dikenali sebagai Brexit sebelum ini memperoleh tiga tarikh dan berlalu sebelum Parlimen British akhirnya meluluskan perjanjian perpisahan itu.

Namun, Britain akhirnya meninggalkan EU, 43 bulan selepas negara terbabit mengundi untuk Brexit dalam referendum pada Jun 2016.

Bagi sebahagian besar penduduk Britain, tidak ada apa yang akan berubah, berikutan kewujudan waktu peralihan yang membolehkan status quo dikekalkan, sekurang-kurangnya sehingga 31 Disember 2020.

Namun Britain akan kehilangan hak perwakilan dan mengundi dalam institusi EU dan ia mencakupi ketiadaan anggota dari Britain di Parlimen Eropah.

Berikut adalah perincian utama Brexit:

• Britain berkata sudah bersedia memulakan rundingan perdagangan pada 1 Februari, namun semua negara anggota EU masih berbincang mengenai apa yang dikehendaki daripada rundingan itu.

• Perdana Menteri Britain, Boris Johnson akan memberikan idea berhubung perjanjian perdagangan bebas, selaras dengan persetujuan terkini EU bersama Kanada, dalam ucapan pada awal Februari.

• Mandat EU boleh diluluskan oleh semua menteri pada 25 Februari, cadang pegawai di Brussels, sekali gus bermakna rundingan boleh dimulakan sekitar 1 Mac.

• Britain berharap untuk mengadakan perbincangan perdagangan bersama Amerika Syarikat (AS) dan negara bukan EU pada waktu yang hampir sama.

• Perdagangan bukan satu-satunya isu yang perlu diselesaikan bersama Brussels, namun Britain dan EU akan meneruskan kerjasama rapat dalam aspek penguatkuasaan undang-undang, pendidikan dan tenaga, di samping beberapa isu lain.

• Tempoh peralihan dijangka berkekalan sehingga 31 Disember, 2020.

Britain boleh meminta untuk melanjutkan tempoh selama setahun atau dua tahun, namun perlu memaklumkan perkara itu kepada EU menjelang 1 Julai.

• Johnson menegaskan beliau tidak akan membuat permintaan itu dengan berkata, Britain perlu segera bebas dari peraturan dan perundangan EU pada kadar segera.

• Tanpa sebarang lanjutan atau perjanjian perdagangan, hubungan antara Britain dan EU akan menjadi buruk menjelang akhir 2020.

• Perjanjian baharu akan membolehkan kedua-dua pihak meneroka jalinan kerjasama baharu.

Kegagalan untuk mencapai persetujuan bermakna, segala perdagangan merentasi negara, pengangkutan dan aspek lain akan terjejas. - AFP

Berita Harian X