Sabtu, 15 Februari 2020 | 5:57pm
Peningkatan drastik bilangan penduduk yang terjejas akibat coronavirus COVID-19 di China mungkin memberi kesan kepada dua pertiga penduduk dunia. - Foto Reuters
Peningkatan drastik bilangan penduduk yang terjejas akibat coronavirus COVID-19 di China mungkin memberi kesan kepada dua pertiga penduduk dunia. - Foto Reuters

COVID-19 boleh menjangkiti dua pertiga penduduk dunia - Saintis 

GENEVA: Peningkatan drastik bilangan penduduk yang terjejas akibat coronavirus COVID-19 di China mungkin memberi kesan kepada dua pertiga penduduk dunia.

Saintis penyakit berjangkit yang juga penasihat Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Ira Longini, berkata peningkatan mendadak kes itu secara tidak langsung menjadi amaran bahawa risiko jangkitan mungkin bertambah teruk.

Beliau yang bertanggungjawab menjalankan kajian mengenai penularan virus di China itu membayangkan risiko berbilion lagi mungkin dijangkiti berbanding jumlah rasmi setakat ini sekitar 60,000 orang. 

Katanya, jika penularan wabak itu merebak pada tahap sama, kerajaan China akan mempunyai keterbatasan bagi langkah-langkah membendungnya termasuk menyediakan kawasan  kuarantin yang boleh dihuni puluhan juta orang.

Bagaimanapun, Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus, mengiktiraf usaha China mengambil pelbagai langkah drastik dan kesediaan seluruh dunia berjaga-jaga atau mengambil langkah yang sesuai. 

Longini berkata, kaedah kuarantin mungkin berupaya memperlahankan penyebaran, namun mempersoalkan bagaimana pula dengan virus yang merebak lebih awal iaitu sebelum pemantauan bermula.

"Kira-kira 15,000 kes baharu diperoleh pada Khamis lalu selepas kerajaan China memperluaskan kaedah melakukan diagnosis," katanya. 

“Data menunjukkan seorang yang dijangkiti berupaya menyebarkan virus itu kepada dua hingga tiga orang yang lain. 

"Kekurangan kaedah untuk melakukan ujian dengan segera dan kelemahan relatif jangkitan pada sesetengah orang juga menjadikannya sukar untuk mengesan penularan," katanya.

Tambah beliau, meskipun ada sesetengah penyelesaian mengurangkan penularan wabak, keadaan itu tetap memberikan kesan dengan satu pertiga penduduk dunia berupaya dijangkiti COVID-19. 

"Sekurang-kurangnya jika ada perubahan dalam cara penularan dan langkah pengawasan, usaha mengekang virus mampu berfungsi dengan baik," katanya yang juga Pengarah Bersama Pusat Perangkaan dan Penyakit Berjangkit Kuantitatif di University of Florida, dalam temu bual di ibu pejabat WHO di Geneva.

Tegas beliau, mengasingkan pesakit, mereka yang berhubungan dengannya atau kenalannya tidak berupaya menghentikan virus berkenaan, sekali gus memungkinkan penularan yang mungkin menjadi jauh lebih besar. 

Amaran sama turut ditegaskan penyelidik di Imperial College London, Neil Ferguson, yang menganggarkan 50,000 orang mungkin dijangkiti setiap hari di China.

Sementara itu, profesor kesihatan awam di Universiti Hong Kong, Gabriel Leung, juga berkata hampir dua pertiga penduduk dunia boleh menghidap COVID-19 jika ia terus dibiarkan. - AGENSI

Berita Harian X