Ahad, 15 March 2020 | 6:47pm
Pembelian panik di serata dunia menyaksikan rak di pasar raya kerap kosong walaupun kerajaan mendakwa bekalan mencukupi. - Foto AFP
Pembelian panik di serata dunia menyaksikan rak di pasar raya kerap kosong walaupun kerajaan mendakwa bekalan mencukupi. - Foto AFP

Bendung COVID-19 melalui sekatan global

PERANCIS: Penularan pandemik COVID-19 yang semakin serius mendorong Perancis dan Sepanyol mengikut jejak langkah Itali mengenakan sekatan terhadap puluhan juta rakyatnya,

Perdana Menteri Perancis, Edouard Philippe, berkata kedai, restoran dan kemudahan hiburan ditutup bermula hari ini, dengan 67 juta penduduknya diminta tidak keluar rumah dalam usaha memerangi COVID-19.

Katanya, kerajaan tiada pilihan lain, selepas pihak berkuasa kesihatan melaporkan 91 kematian dan hampir 4,500 orang dijangkiti setakat ini.

Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez, semalam mengumumkan perintah berkurung di hampir seluruh negara bagi memerangi penularan COVID-19.

Beliau mengumumkan sekatan pergerakan itu susulan peningkatan mendadak angka jangkitan di negara ini yang mempunyai kira-kira 46 juta penduduk, malah isterinya, Begona Gomez, turut disahkan positif COVID-19.

Sepanyol melaporkan lebih 1,500 jangkitan baharu COVID-19 sejak petang kelmarin, menyaksikan jumlah meningkat kepada 5,753 kes iaitu kedua tertinggi di Eropah selepas Itali. Setakat ini, virus itu sudah meragut 183 nyawa di Sepanyol.

Australia pula mengarahkan semua individu yang memasuki negara itu dari negara lain menjalani pengasingan sementara Argentina dan El-Salvador melanjutkan larangan kemasukan.

Inilah antara pendekatan beberapa negara di serata dunia dalam usaha mengekang penularan coronavirus baharu yang mula dikesan di China akhir Disember lalu, sebelum menjadi pandemik global.

Kementerian Kesihatan Chile semalam mengumumkan lebih 1,300 orang di atas dua kapal persiaran dikuarantin di pelabuhan Castro susulan seorang warga emas British disahkan positif COVID-19.

Lelaki berusia 85 tahun itu mengalami simptom jangkitan virus berkenaan selepas turun dari kapal Silver Explorer di pelabuhan selatan Caleta Tortel yang terletak kira-kira 2,400 kilometer dari Santiago.

Sebuah lagi kapal, Azmara Pursuit dengan 665 penumpang dan hampir 400 kru, ditahan dekat pelabuhan Chacabuco selepas pihak berkuasa melarangnya menurunkan penumpang di situ kerana membawa kes disyaki COVID-19.

Pembelian panik di Australia, Amerika Syarikat (AS) dan Britain pula menyaksikan pemimpin negara itu merayu supaya rakyat bertenang menghadapi wabak yang menjangkiti lebih 138,000 individu seluruh dunia dan membunuh lebih 5,000 orang.

Beberapa negara melarang perhimpunan, menghentikan acara sukan, budaya dan keagamaan, manakala pakar perubatan menggesa orang ramai menjaga jarak sosial untuk mengekang penularan wabak itu.

Coronavirus turut memberi kesan pada perkhidmatan gereja, dengan Vatican memaklumkan semua majlis sambutan berkaitan Easter akan dilaksanakan tanpa kehadiran penganut dan orang ramai.

Semua majlis sempena Easter yang bermula hari ini, akan disiarkan secara langsung menerusi laman sosial dan televisyen sehingga 12 April depan.

Di Asia Barat, Jordan menghentikan penerbangan masuk dan keluar dari negara itu mulai Selasa, sebagai langkah memperketat kawalan sempadan bagi membendung penularan coronavirus.

Perdana Menteri, Omar Razzaz, ketika mengumumkan tindakan itu, memaklumkan sekolah dan universiti juga ditutup selama dua minggu dengan kawasan pelancongan serta semua sukan dan pawagam turut ditutup.

Mesir pulas akan menggantung sesi persekolahan dan kuliah universiti selama dua minggu bermula esok bagi membendung penularan COVID-19, kata Presiden Abdel Fattah al-Sisi, dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut meminta sumbangan bernilai 100 bilion pound Mesir (AS$6.38 bilion) untuk membiayai 'pelan komprehensif' bagi membendung COVID-19.

Di Asia Tenggara, Lembaga Pelancongan Thailand (TAT) menyenaraikan langkah pencegahan untuk pelancong dalam usaha mengekang penularan COVID-19.

Berdasarkan arahan Jabatan Kawalan Penyakit Thailand (DDC), Kementerian Kesihatan Awam negara itu mengkategorikan pelancong dalam tiga kumpulan untuk pengawasan berbeza.

Tiga kumpulan berkenaan ialah zon penyakit berjangkit, negara yang menghadapi penularan jangkitan tempatan, dan pelancong dari destinasi lain.

Pelancong daripada zon penyakit berjangkit, iaitu China, Itali, Iran, Korea Selatan, Macau dan Hong Kong, dikehendaki memohon visa sebelum memasuki Thailand serta menjalani kuarantin mandatori selama 14 hari selepas tiba di negara itu. - AGENSI

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X