Selasa, 17 March 2020 | 4:44pm
PERDANA Menteri Belanda, Mark Rutte menyampaikan ucapan khas melalui siaran televisyen kebangsaan, semalam. - Foto AFP
PERDANA Menteri Belanda, Mark Rutte menyampaikan ucapan khas melalui siaran televisyen kebangsaan, semalam. - Foto AFP

COVID-19: Sebahagian besar penduduk Belanda bakal dijangkiti - PM

AMSTERDAM: Perdana Menteri Belanda, Mark Rutte, semalam memberi amaran bahawa sebahagian besar penduduk negara ini bakal dijangkiti COVID-19, namun menolak pelaksanaan perintah berkurung penuh seperti negara Eropah yang lain.

Rutte berkata, kerajaan mahu membina ‘kumpulan imuniti’ sementara menunggu vaksin, bagi melindungi kumpulan warga emas dan mereka yang berpenyakit.

Beliau berkata, wabak itu dijangka berlarutan selama berbulan-bulan atau lebih lama.

Setakat ini, Belanda sudah melakukan sekatan termasuk menutup sekolah dan restoran.

“Tiada pesanan mudah kepada anda pada petang ini... Realitinya ialah sebahagian besar penduduk negara ini akan dijangkiti COVID-19. Demikian dimaklumkan oleh pakar kepada kami,” katanya yang kelihatan muram ketika menyampaikan ucapan khas melalui siaran televisyen kebangsaan, semalam.

Namun, Rutte menjelaskan, Belanda tidak akan melaksanakan perintah berkurung penuh, bukan seperti Itali dan Sepanyol yang mengambil langkah drastik mengawal pergerakan rakyat bagi mengekang penularan virus itu.

“Dalam senario itu, kita sebenarnya akan terpaksa menutup negara ini selama setahun atau lebih lama, bersama segala akibatnya,” katanya.

Setakat ini, Belanda mengesahkan 1,413 kes positif COVID-19 dengan 24 kematian. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X