Isnin, 23 March 2020 | 10:12pm
Unit rawatan rapi dalam khemah hospital medan tentera di Hospital Emile Muller timur Perancis pada hari ketujuh perintah berkurung untuk menghalang penularan wabak COVID-19. Foto AFP.
Unit rawatan rapi dalam khemah hospital medan tentera di Hospital Emile Muller timur Perancis pada hari ketujuh perintah berkurung untuk menghalang penularan wabak COVID-19. Foto AFP.

COVID-19: Angka kematian seluruh dunia melepasi 15,000

PARIS: Jumlah kematian akibat wabak COVID-19 melebihi 15,000 kes di seluruh dunia dengan angka tertinggi dicatatkan di Eropah, iaitu sebanyak 9,197 kematian.

Angka yang dikumpulkan daripada pihak berkuasa itu setakat hari ini ialah sebanyak 15,189 kes kematian seluruh dunia.

Itali antara negara yang paling teruk diserang wabak itu dengan 5,476 kematian, diikuti China, tempat wabak itu bermula tahun lalu dengan 3,270 kematian dan Sepanyol sebanyak 2,182 kematian.

Dalam tempoh hanya 24 jam, jumlah keseluruhan kematian di Eropah sebanyak 1,395 kes daripada 172,238 jangkitan yang direkodkan, menjadikannya antara yang paling pantas diserang virus itu.

Angka kematian di Sepanyol menunjukkan peningkatan 27 peratus kepada 2,182 kes selepas 462 meninggal dunia dalam tempoh 24 jam lalu.

Iran turut mencatatkan kenaikan dengan 127 kematian baharu, menjadikan jumlah COVID-19 di negara itu sebanyak 1,812 kes, sekali gus menjadikan ia antara negara yang terjejas selain Itali, China dan Sepanyol.

Jurucakap Kementerian Kesihatan Iran, Kianouche Jahanpour, berkata sebanyak 1,411 kes baharu dicatatkan sepanjang tempoh 24 jam lalu, menjadikan jumlah mereka yang dijangkiti kepada 23,049 kes. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X