Rabu, 25 March 2020 | 8:03am

COVID-19: 6 juta topeng muka ditempah Jerman hilang di Kenya

BERLIN: Kira-kira enam juta topeng muka yang dibeli Jerman, dilaporkan hilang di sebuah lapangan terbang di Kenya, menurut majalah Der Spiegel Jerman menerusi laman webnya, semalam.

Agensi berita Anadolu yang memetik majalah itu melaporkan, Kementerian Pertahanan Jerman mengesahkan pihak berkuasa sedang menyiasat perkara berkenaan, namun tidak memberikan butiran lanjut.

Jerman baru-baru ini menempah topeng muka terbabit dan beberapa kelengkapan perlindungan lain yang bernilai kira-kira €241 juta (ASD262 juta) untuk kegunaan membendung penyebaran wabak COVID-19.

Tempahan itu sepatutnya tiba di Jerman pada 20 Mac lalu.

Jerman adalah negara Eropah yang ketiga paling teruk terjejas dengan penularan pandemik itu, selepas Itali dan Sepanyol.

Setakat ini, Jerman melaporkan 30,150 kes dengan 130 kematian akibat virus berkenaan. – BERNAMA

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X