Isnin, 30 March 2020 | 7:55am
Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau pada sidang media mengenai situasi semasa COVID-19 di Kanada di kediamannya di Ottawa. - Foto AFP
Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau pada sidang media mengenai situasi semasa COVID-19 di Kanada di kediamannya di Ottawa. - Foto AFP

COVID-19: Trudeau kekal jalani pengasingan walaupun isteri pulih

MONTREAL: Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau berkata beliau akan kekal menjalani tempoh pengasingan walaupun isterinya yang dijangkiti coronavirus (COVID-19), sudah pulih.

Trudeau berkata, walaupun isterinya Sophie Gregoire Trudeau sudah disahkan pulih sepenuhnya oleh doktornya semalam, dan beliau sendiri tidak mempunyai gejala, dia sudah ‘berkongsi bumbung dengan seseorang yang diuji positif untuk COVID-19’.

"Oleh itu saya perlu meneruskan tempoh pengasingan untuk memastikan bahawa kami mengikuti semua protokol dan cadangan oleh Jabatan Kesihatan," katanya.

Trudeau berkata, oleh kerana doktor tidak tahu dengan tepat bila Sophie bebas daripada virus, beliau akan mematuhi tempoh 14 hari penuh pengasingan.

Beliau yang memberikan kenyataan kepada pemberita daripada anjung kediaman Rideau Cottage di Ottawa, berkata pekerja di seluruh Kanada mengetahui bahawa mereka boleh melakukan "banyak kerja yang melalui telefon dan persidangan video.

"Itulah yang saya lakukan," katanya.

Perdana Menteri itu berada dalam pengasingan diri sejak isterinya diuji positif pada 12 Mac lalu sekembali dari London.

Sabtu lalu, Sophie mengumumkan bahawa doktornya menyatakan dia sembuh sepenuhnya dan memberi kebenaran untuk kembali kepada kehidupan normal.

Justin Trudeau berkata, isterinya membawa anak-anak mereka ke Tasik Harrington di barat laut Ottawa, tapak kediaman musim panas dan pemukiman rasmi Perdana Menteri.

Trudeau juga mengumumkan langkah kewangan baharu untuk membantu Kanada terutamanya membabitkan kanak-kanak dan warga emas yang terjejas teruk oleh wabak itu.

Ditanya sama ada dia mungkin menggunakan pasukan bersenjata Kanada untuk membantu menguatkuasakan arahan perjalanan yang dikenakan secara rasmi, Trudeau berkata, beliau tidak bercadang untuk melakukannya buat masa ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Kesihatan Awam Kanada, Dr Theresa Tam, meminta rakyat yang kembali ke tanah air untuk mematuhi perintah pengasingan 14 hari yang dikenakan oleh kerajaan. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X