Isnin, 6 April 2020 | 9:40pm

COVID-19: PBB gesa jangan abai migran, pemohon suaka politik

LONDON: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggesa migran tanpa dokumen, pemohon suaka dan mangsa perdagangan manusia diberi akses kesihatan serta kebajikan ketika penularan pandemik COVID-19.

Pakar pertubuhan itu berkata, migran bekerja di sektor perladangan dan ekonomi bayangan kekurangan perlindungan menentang COVID-19, manakala pemohon suaka pula memenuhi rumah perlindungan serta tidak mengamalkan jarak sosial.

Mereka termasuk mangsa ‘hamba moden’ yang tidak mungkin mendapatkan rawatan kesihatan kerana bimbang terdedah kepada pihak berkuasa, seterusnya ditahan dan dihantar pulang.

Pakar PBB, Felipe González Morales dan Maria Grazia Giammarinaro, berkata isu hak kemanusiaan perlu menjadi perkara utama dalam menangani pandemik COVID-19 dan tiada seorang pun harus ditinggalkan.

"Kerajaan wajar mengambil langkah memastikan setiap individu di negara mereka, tidak kira status migrasi, mempunyai akses kepada perkhidmatan kesihatan jika mahu memastikan kejayaan membendung pandemik COVID-19," katanya.

Portugal, sejak bulan lalu mengarahkan kesemua pendatang asing termasuk pemohon suaka, dilayan seperti warganegara sekurang-kurangnya sehingga 1 Julai.

Data global migran dan pelarian mencecah sehingga 272 juta orang tahun lalu, meningkat 51 juta sejak permulaan dekad lalu, manakala data PBB pula menunjukkan 25 juta orang dijadikan sebagai buruh paksa. - AGENSI

Berita Harian X