Selasa, 7 April 2020 | 10:38pm

Jangan tergesa-gesa hentikan langkah bendung COVID-19 - WHO

GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) mengingatkan semua negara jangan tergesa-gesa menghentikan langkah membendung penularan COVID-19 dan masing-masing melakukan penilaian terperinci sebelum bertindak.

Jurucakap WHO, Christian Lindmeier, berkata badan dunia itu tidak mempunyai satu rumusan tunggal bagi semua negara untuk mengatasi pandemik itu dan menasihatkan mereka jangan mengurangkan langkah pencegahan terlalu awal.

“Satu perkara penting ialah jangan kurangkan langkah pencegahan terlalu awal dan mengundang risiko pandemik berulang.

“Ia umpama anda masih dalam keadaan tidak sihat tetapi meninggalkan katil terlalu awal dan berdepan risiko kembali jatuh sakit,” katanya dalam sidang media secara maya.

Sementara itu, Pengarah WHO di Mediterranean Timur, Ahmed al-Mandhari, memberi amaran bahawa pekerja sektor kesihatan semakin berkurangan di serata dunia terutama di Mediterranean Timur.

Tegas beliau, kegagalan negara dunia menangani masalah itu sekarang akan membawa musibah pada masa depan sekiranya perang menentang COVID-19 berlarutan.

"Kita perlu memastikan pekerja kesihatan diselaras untuk memenuhi keperluan semasa dan memberi perlindungan sewajarnya jika mahu terus mengharapkan khidmat mereka.

"Mereka perlu dibekalkan dengan peralatan keselamatan yang memadai supaya tidak menjadi mangsa jangkitan,” katanya pada sidang media secara dalam talian. - AGENSI

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X