Khamis, 9 April 2020 | 8:09pm
Setiausaha Negara untuk Hal Ehwal Asing, Dominic Raab mengambil alih sementara tugas Perdana Menteri Britain Boris Johnson yang berada dalam rawatan intensif di Hospital St Thomas kerana menderita penyakit koronavirus (COVID-19).
Setiausaha Negara untuk Hal Ehwal Asing, Dominic Raab mengambil alih sementara tugas Perdana Menteri Britain Boris Johnson yang berada dalam rawatan intensif di Hospital St Thomas kerana menderita penyakit koronavirus (COVID-19).

COVID-19: PM Britain dalam keadaan stabil

LONDON: Perdana Menteri Britain, Boris Johnson, hari ini memulakan hari keempat dalam penjagaan rapi "semakin pulih" dalam pertarungannya dengan COVID-19, tatkala kerajaannya bersedia untuk memperluaskan perintah berkurung di seluruh negara yang diperkenalkan bulan lalu.

Johnson adalah pemimpin dunia paling berpengaruh yang dijangkiti COVID-19 dan pemindahannya ke penjagaan rapi pada Isnin lalu tidak pernah berlaku sebelum ini terhadap mana-mana perdana menteri semasa darurat kebangsaan pada zaman moden.

"Beliau stabil, bertambah baik, duduk dan berbual dengan kakitangan perubatan," kata Setiausaha Kebudayaan, Oliver Dowden kepada BBC News.

"Saya rasa keadaan semakin baik untuknya."

Penyakit ini telah merebak di tengah-tengah pusat kerajaan British, menjangkiti lebih 60,000 orang di seluruh negara dan membunuh lebih 7,000 orang, dengan angka kematian harian sebanyak 938 yang dilaporkan semalam.

Menteri-menteri kanan dijadual berbincang pada mesyuarat maklum balas harian coronavirus hari ini berhubung proses untuk memperluas langkah-langkah penjarakan sosial lebih ketat yang dikeluarkan pada 23 Mac.

Setiausaha Luar, Dominic Raab, yang mengambil alih sementara tugas Johnson, akan mengetuai apa yang dipanggil "kabinet perang", seperti yang telah dilakukannya sejak Isnin.

Bagaimanapun, menteri-menteri telah menyatakan secara jelas tidak ada pengumuman mengenai status perintah berkurung - yang awalnya dilancarkan untuk tiga minggu - akan dibuat sehingga tempoh terbabit berakhir - paling awal pada Isnin depan.

Akhbar The Sun melaporkan bahawa penasihat saintifik kerajaan tidak akan bertemu sehingga Jumaat untuk menilai keadaan.

"Anda tidak sepatutnya mengharapkan keputusan mengenai sekatan itu hari ini," kata Dowden, menekankan bahawa semakan sebenar akan berlaku minggu depan.

"Buat masa ini baharu mula bekerja," katanya mengenai perintah berkurung, dengan menyatakan bahawa kes COVID-19 baharu di Britain tidak "semakin meningkat".

"Apabila kita mempunyai peluang untuk mengubahnya, kita akan, tetapi bukan itu buat masa sekarang." - AFP

Berita Harian X