Sabtu, 25 April 2020 | 10:44pm
- Foto hiasan
- Foto hiasan

COVID-19: Tiada bukti mereka yang diuji positif terlindung dari jangkitan semula - WHO

GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) hari ini memberi amaran bahawa tiada bukti bahawa orang yang diuji positif COVID-19 kebal dan terlindung dari jangkitan semula.

Amaran itu menunjukkan bahawa pengeluaran "pasport kebal" boleh mendorong penyebaran wabak yang terus berlanjutan.

"Ketika ini tidak ada bukti bahawa orang yang telah pulih dari COVID-19 dan mempunyai antibodi dilindungi dari jangkitan kedua," kata WHO dalam satu kenyataan.

"Setakat 24 April 2020, tidak ada kajian yang menunjukkan sama ada kehadiran antibodi terhadap SARS-CoV-2 memberikan kekebalan terhadap jangkitan berikutnya oleh virus ini pada manusia."

Beberapa negara, yang ingin memberi kebenaran bekerja secara berperingkat dan menggerakkan semula kegiatan ekonomi, telah mengemukakan gagasan untuk mengeluarkan dokumen yang membuktikan kekebalan orang berdasarkan ujian serologi yang menunjukkan adanya antibodi dalam darah.

Namun, keberkesanan imunisasi daripada antibodi masih belum dapat dibuktikan dan data saintifik yang ada tidak membenarkan pemberian "pasport kebal" atau "sijil ketiadaan risiko", WHO mengingatkan.

Pada tahap ini mengenai pandemik ini, tidak ada bukti yang cukup mengenai keberkesanan imuniti yang dimediasi oleh antibodi untuk menjamin ketepatan "pasport kebal" atau "sijil bebas risiko."

"Orang yang menganggap bahawa mereka kebal terhadap jangkitan kedua kerana mereka telah menerima keputusan ujian positif mungkin mengabaikan nasihat kesihatan awam," kata WHO.

"Oleh itu, penggunaan sijil terbabit dapat meningkatkan risiko penyebaran berterusan."

WHO juga percaya bahawa ujian serologi yang digunakan sekarang 'memerlukan pengesahan tambahan untuk menentukan ketepatan dan kebolehpercayaannya'.

Contohnya, ujian perlu untuk membezakan tindak balas kekebalan terhadap COVID-19 dari antibodi yang dihasilkan semasa jangkitan oleh satu dari enam coronavirus manusia yang diketahui, yang mana empat di antaranya tersebar luas, menyebabkan selesema ringan.

Dua lagi ialah MERS (Sindrom Pernafasan Virus Korona Asia Barat) dan SARS (Sindrom Penafasan Akut Teruk).

"Orang yang dijangkiti oleh satu atau yang lain dari virus ini mampu menghasilkan antibodi yang berinteraksi dengan antibodi yang dihasilkan sebagai tindak balas terhadap jangkitan yang disebabkan oleh SARS-CoV-2", kata WHO, menekankan pentingnya keupayaan untuk mengenalinya. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X