Selasa, 28 April 2020 | 9:27am

COVID-19: PBB minta majikan sentiasa utamakan keselamatan pekerja

GENEVA: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggesa kerajaan dan majikan sentiasa mengutamakan keselamatan pekerja yang dibenarkan kembali bertugas apabila sekatan perintah berkurung dilonggarkan.

Dalam satu kajian baharu, International Labour Organization (ILO) menekankan pentingnya memastikan bahawa tempat kerja memenuhi kriteria keselamatan dan kesihatan pekerjaan yang ketat sebelum membenarkan kakitangannya kembali bekerja, bagi meminimumkan pendedahan mereka terhadap jangkitan COVID-19.

"Tanpa kawalan ketat di tempat kerja, negara-negara berkenaan pastinya menghadapi risiko tinggi gelombang jangkitan virus berkenaan," kata agensi PBB dalam satu kenyataan.

Laporan ILO muncul ketika beberapa negara Eropah mulai mengurangkan langkah sekatan perintah berkurung secara bertahap, begitu juga pihak berkuasa di China, yang mulai melonggarkan sekatan bulan lalu, sehingga dibimbangi wujudnya gelombang baharu COVID-19.

Laporan itu menekankan bahawa dengan menerapkan pelbagai langkah keselamatan ketat, majikan dapat meminimumkan risiko gelombang kedua penularan yang dijangkiti di tempat kerja.

"Keselamatan dan kesihatan seluruh tenaga kerja adalah yang terpenting.

"Dalam menghadapi wabak COVID-19 ini, adalah penting bagaimana kita melindungi pekerja kita kerana ia berkaitan dengan keselamatan komuniti dan seberapa kuat daya tahan perniagaan kita.

"Hanya dengan menerapkan langkah-langkah keselamatan dan kesihatan di tempat kerja, kita dapat melindungi kehidupan pekerja, keluarga mereka dan masyarakat, sekali gus memastikan kesinambungan kerja dan kelangsungan ekonomi," kata Ketua ILO, Guy Ryder, dalam kenyataan itu.

COVID-19 telah membunuh lebih dari 200,000 orang di seluruh dunia dan menjangkiti hampir tiga juta orang, dan mengakibatkan kerugian ekonomi dan perniagaan di seluruh dunia.

Selepas berminggu-minggu dengan lebih daripada separuh penduduk dunia diarah duduk dalam rumah, kerajaan dan majikan di beberapa negara mula melonggarkan sekatan dan membenarkan sektor perniagaan beroperasi semula. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X