Selasa, 5 Mei 2020 | 9:26pm
Seorang lelaki melakukan aktiviti senaman di sepanjang tambak di Moscow di tengah penyebaran coronavirus COVID-19 yang baru. - Foto AFP
Seorang lelaki melakukan aktiviti senaman di sepanjang tambak di Moscow di tengah penyebaran coronavirus COVID-19 yang baru. - Foto AFP

COVID-19: Jangkitan melebihi 10,000 kes 3 hari berturut-turut di Russia

MOSCOW: Russia kini tersenarai bersama negara Eropah lain yang mencatat jangkitan tertinggi wabak COVID-19 dengan jumlah keseluruhan melebihi 155,000 kes.

Pegawai kesihatan melaporkan, dalam tempoh 24 jam, kes terbaru adalah sebanyak 10,102 kes iaitu kurang 531 kes daripada rekod tertinggi Ahad lalu, sekali gus membawa kepada peningkatan sebanyak 155,370.

Russia ketika ini dilihat sebagai tompok panas wabak itu apabila banyak negara Eropah lain merancang untuk melonggarkan perintah berkurung selepas penurunan kadar jangkitan.

Jangkitan terbaru di negara itu dilihat tinggi berbanding negara lain di Eropah, dengan United Kingdom berada di tempat kedua mencatatkan hanya 4,000 kes baharu.

Jurucakap kerajaan, Boris Belyakov, berkata Perdana Menteri, Mikhail Mishustin, yang dilaporkan antara pegawai kerajaan tertinggi dijangkiti COVID-19, kini semakin pulih.

Katanya, Mishutin, yang dilaporkan positif minggu lalu mendapatkan rawatan dengan panduan kementerian kesihatan dan beliau dilaporkan 'aktif berbual dengan rakan sekerja melalui telefon'.

Pihak berkuasa negara itu turut melaporkan mereka sudah melakukan lebih empat juta ujian COVID-19 dan kematian di Russia adalah rendah berbanding negara lain diancam pandemik termasuk Sepanyol, Itali dan Amerika Syarikat (AS).

Menurut laporan harian kerajaan, Russia dilaporkan mencatat sebanyak 1,451 kematian selepas 94 kematian dalam tempoh 24 jam lalu.

AFP melaporkan, negara itu ketika ini berada di kedudukan ke-18 dalam senarai kadar kematian akibat virus itu meskipun berada di tangga ke-tujuh jangkitan wabak itu di seluruh dunia.

Wabak itu kini menular ke 85 wilayah di Russia dengan Moscow dilaporkan kawasan paling teruk terjejas. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X