Isnin, 18 Mei 2020 | 7:15pm
Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus. - Foto AFP
Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus. - Foto AFP

COVID-19 cabaran terbesar Tedros

GENEVA: Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus, menghadapi cabaran terbesar hidupnya dalam menangani pandemik COVID-19 dan ketegangan akibatnya antara Amerika Syarikat (AS) dan China.

Beliau yang juga warga Afrika pertama menerajui badan dunia itu, kini berada dalam kancah pandemik global dan usaha mengekang penularan virus yang sudah mengorbankan lebih 300,000 mangsa dan menjangkiti hampir lima juta orang.

Hari ini, Tedros yang juga bekas Menteri Kesihatan dan Hal Ehwal Luar Ethiopia, merasmikan acara tahunan utama badan dunia itu, Perhimpunan Kesihatan Sedunia (WHA), yang kali ini disingkatkan kepada dua hari berbanding kelaziman tiga minggu.

Di Tengah pandemik COVID-19, Tedros berkata acara tahun ini adalah antara yang terpenting sejak WHA dimulakan pada 1948.

Semua negara berharap akan ada konsensus bagi usaha bersepadu menangani wabak itu, walaupun dicemari ketegangan antara dua ekonomi terbesar dunia iaitu AS dan China.

Minggu lalu Presiden AS, Donald Trump, mengugut mahu memutuskan hubungan dengan China, di mana wabak itu berpunca, dan berulang kali mendakwa COVID-19 berasal dari makmal di China.

Beliau juga mengkritik Tedros dan WHO, mendakwa mereka terlalu rapat dengan China dan gagal menyelaras strategi menangani pandemik itu.

Bulan lalu, Trump mengumumkan AS selaku penyumbang terbesar kepada dana WHO, akan membekukan pembiayaannya.

Ternyata pandemik COVID-19 dan kehilangan dana AS menjadi cabaran terbesar dalam tempoh tiga tahun Tedros memegang jawatan Ketua Pengarah WHO.

Namun, Tedros, 55, seorang pakar malaria dengan ijazah kesihatan awam dan imunologi dari Britain, serta selaku individu pertama diundi bagi menerajui WHO, sepatutnya mempunyai sokongan kukuh bagi mengharungi cabaran ini. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X