Rabu, 20 Mei 2020 | 8:22pm
Pihak berkuasa Belanda menutup dua ladang cerpelai selepas pekerja dikesan positif COVID-19, berkemungkinan berjangkit daripada haiwan terbabit. - Foto AFP
Pihak berkuasa Belanda menutup dua ladang cerpelai selepas pekerja dikesan positif COVID-19, berkemungkinan berjangkit daripada haiwan terbabit. - Foto AFP

Pekerja ladang mungkin dijangkiti COVID-19 daripada cerpelai

THE HAGUE: Seorang pekerja ladang menternak cerpelai di Belanda disyaki terkena jangkitan COVID-19 daripada haiwan itu, dalam kes pertama jangkitan daripada haiwan kepada manusia.

Menteri Pertanian, Carola Schouten, berkata kes berkenaan dilaporkan di salah satu daripada dua ladang cerpelai di Eindhoven, di mana virus itu pertama kali di kesan dalam kalangan mamalia yang diternak untuk mendapatkan kulitnya.

"Penyelidik mendapati persamaan dalam kod genetik virus yang ditemui pada cerpelai dan pesakit, sekali gus membolehkan pengesanan mutasi yang berlaku.

"Penyiasatan mendapati ada kemungkinan bahawa salah seorang pekerja ladang itu dijangkiti virus COVID-19 daripada cerpelai," katanya dalam surat kepada Parlimen Belanda.

Bagaimanapun, tambah beliau, jangkitan CIOVID-19 daripada haiwan kepada manusia tidak perlu dibimbangkan, malah sampel udara dan habuk di luar kandang cerpelai tidak mengandungi sebarang virus.

Sehubungan itu, katanya, Belanda memperketatkan langkah kawalan dengan mewajibkan pemeriksaan di semua ladang cerpelai dan melarang lawatan ke ladang berkenaan.

Pihak berkuasa juga menyiasat kemungkinan pemindahan jangkitan menerusi kucing liar yang berkeliaran antara dua ladang cerpelai yang terjejas, di mana minggu lalu kerajaan mengesahkan tiga daripada kucing terbabit positif COVID-19.

Operasi ladang menternak cerpelai sudah lama menjadi kontroversi di Belanda dengan mahkamah tertinggi negara itu, pada 2016, mengarahkan semua operasi menternak cerpelai harus dihentikan menjelang 2024.

Setakat hari ini, Belanda merekodkan 44,249 kes jangkitan dan 5,715 kematian akibat COVID-19. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X