X
Rabu, 20 Mei 2020 | 9:34pm
Salji di Antartika bertukar hijau apabila permukaan diselaputi tumbuhan lumut berikutan peningkatan suhu global. - Foto AFP
Salji di Antartika bertukar hijau apabila permukaan diselaputi tumbuhan lumut berikutan peningkatan suhu global. - Foto AFP

Perubahan iklim tukar Antartika jadi 'hijau'

PARIS: Sebahagian Antartika akan berubah dengan diselaputi salji berwarna kehijauan disebabkan tumbuhan lumut berikutan peningkatan suhu global.

Walaupun Antartika dianggap sebagai kawasan yang tandus, ia sebenarnya menjadi habitat beberapa spesies lumut yang tumbuh pada permukaan salji dan menyedut karbon dioksida dari udara.

Penyelidik dari University of Cambridge dan British Antarctic Survey menggabungkan imbasan satelit dengan pemerhatian di darat untuk mengesan sejauh mana pertumbuhan lumut itu di benua yang paling tandus di dunia itu.

Mereka mengenalpasti lebih daripada 1,600 spesies lumut hijau tumbuh atas salji di serata Antartika, secara keseluruhan merangkumi kawasan seluas 1.9 kilometer persegi.

Matt Davey, dari Cambridge's Department of Plant Sciences, berkata walaupun jumlahnya agak kecil pada skala global, nisbahnya di Antartika, di mana hanya terdapat sejumlah kecil tumbuhan, kadarnya amat ketara.

"Ramai orang beranggapan di Antartika hanya ada salji dan penguin tetapi pada hakikatnya, jika anda melihat sekeliling kawasan pinggiran, terdapat banyak tumbuhan," katanya.

Pasukan penyelidik itu juga mendapati lumut di Antartika masa ini menyerap karbon dioksida bersamaan dengan purata asap yang dilepaskan 875,000 kenderaan dalam sesuatu perjalanan.

Mereka turut mendapati kebanyakan lumut berkenaan tumbuh dalam jarak lima kilometer dari kumpulan penguin, berikutan najis haiwan itu menjadi baja yang terbaik. - AFP

Berita Harian X