Sabtu, 1 Ogos 2020 | 9:38pm
Penunjuk perasaan membawa sepanduk ‘Sergei Furgal’ dalam perarakan menyokong bekas gabenor itu di Khabarovsk. Foto AFP
Penunjuk perasaan membawa sepanduk ‘Sergei Furgal’ dalam perarakan menyokong bekas gabenor itu di Khabarovsk. Foto AFP

Tunjuk perasaan besar-besaran di bandar timur laut Russia

KHABAROVSK: Ribuan orang sanggup meredah hujan di bandar Khabarovsk dekat timur laut Russia hari ini kerana mahu menghadiri perhimpunan tunjuk perasaan besar-besaran susulan penahanan gabenor popular di wilayah itu.

Untuk hujung minggu keempat, penunjuk perasaan berarak di jalanan sambil melaungkan slogan anti-Kremlin dan memberi sokongan terhadap bekas gabenor, Sergei Furgal, yang ditahan serta dibawa ke Moscow pada bulan lalu, atas dakwaan menjadi dalang bagi kes pembunuhan pada 15 tahun yang lalu.

Penangkapan lelaki berusia 50 tahun yang dipilih pada 2018, selepas mengalahkan pesaing dari parti majoriti Russia Bersatu mencetuskan tunjuk perasaan yang belum pernah terjadi sebelumnya di wilayah timur negara itu.

Penduduk setempat melihat gerakan itu berunsurkan politik dan mempersoalkan mengapa lelaki itu diadili di ibu kota yang terletak jauh dari wilayah berkenaan.

"Untuk mengheret gabenor seperti itu, semacam penyamun paling teruk... itu seperti meludah ke wajah masyarakat yang memilihnya," kata Stanislav Nasonov, 40, kepada AFP ketika ditemui di perhimpunan itu.

Furgal, yang ditahan di penjara Lefortova yang terkenal di Moscov, telah dipecat.

Presiden Russia, Vladimir Putin bertindak menggantikannya dengan seorang gabenor muda yang baharu tanpa ada kaitan dengan wilayah berkenaan.

Gerakan itu tidak berjalan dengan baik di Khabarovsk.

Perhimpunan yang berlangsung hari ini kelihatan lebih kecil berbanding hujung minggu sebelumnya, yang merupakan terbesar dalam tempoh 22 hari tunjuk perasaan itu berlangsung setiap hari.

Dianggarkan sekitar 30,000 orang hadir meskipun Dewan Bandaraya Khabarovsk mendakwa hanya 3,500 orang hadir kerana tidak lagi berminat.

Walaupun hujan lebat, semangat penunjuk perasaan tidak pudar kerana masih ada yang bersemangat dengan bertepuk tangan dan mengibarkan bendera Russia sambil melaungkan '20 tahun - tidak percaya' dipercayai merujuk kepada masa dihabiskan Putin untuk berkuasa.

"Kebebasan pilihan kami dirampas. Kami memprotes untuk membuka semula jendela dan bukan hanya untuk kami tetapi untuk seluruh Russia," kata seorang pesara, Pyotr Smirnov, 65.

Tunjuk perasaan turut berlangsung di kawasan selain Khabrovsk iaitu di Vladivostok, di mana pihak polis menahan beberapa peserta, menurut kumpulan info-OVD yang berperanan mengesan penahanan di perhimpunan itu. - AFP

Berita Harian X