Jumaat, 14 Ogos 2020 | 5:14pm
Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan, seorang Muslim yang juga penyokong kuat hak Palestin sudah lama mengkritik dasar Israel di Tebing Barat. Foto AFP
Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan, seorang Muslim yang juga penyokong kuat hak Palestin sudah lama mengkritik dasar Israel di Tebing Barat. Foto AFP

Turki anggap perjanjian UAE-Israel sebagai pengkhianatan

ISTANBUL: Turki mengecam perjanjian antara Israel dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) di mana negara Yahudi berjanji untuk menangguhkan peluasan wilayahnya di tanah Palestin sebagai pengkhianatan hipokrit terhadap perjuangan Palestin.

"Walaupun berusaha untuk menunjukkan seolah-olah berkorban untuk Palestin, UAE mengkhianati perjuangan Palestin untuk memenuhi kepentingannya yang sempit.

"Sejarah dan ingatan masyarakat yang tinggal di rantau ini tidak akan dilupakan dan tidak akan pernah memaafkan tingkah laku hipokrit ini," kata kementerian luar negeri Turki dalam satu kenyataan.

Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan, seorang Muslim yang juga penyokong kuat hak Palestin sudah lama mengkritik dasar Israel di Tebing Barat.

Beliau menuduh beberapa wilayah Arab pada Januari lalu melakukan 'pengkhianatan' dengan menyokong rancangan perdamaian Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump yang kontroversi.

Kementerian luar negeri mengatakan, pihaknya begitu bimbang bahawa UAE, melalui tindakan unilateralnya akan menghentikan Inisiatif Damai Arab yang dibangunkan oleh Liga Arab dan disokong oleh Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC). - AFP

Berita Harian X