Sabtu, 21 April 2018 | 9:40am
Foto hiasan
Foto hiasan

Pusat kecergasan ditutup kerana iklan seksi

RIYADH : Pihak berkuasa sukan Arab Saudi menutup sebuah pusat kecergasan wanita di sini semalam susulan penyiaran video promosi yang memaparkan seorang wanita berpakaian ketat ketika bersukan.

Ketuanya, Turki al-Sheikh dalam satu kenyataan di Twitter berkata mereka tidak akan bertolak ansur dalam perkara itu.

Serentak dengan itu, beliau turut mengarahkan supaya lesen pusat kecergasan berkenaan dibatalkan.

Turki yang juga penasihat kepada Putera Mahkota Mohammed Salman turut mengarahkan pihak berkuasa untuk melakukan siasatan terperinci berhubung insiden itu dan menghukum individu terbabit dalam pembikinan video berkenaan.

Video itu yang tular di media sosial tetapi tidak dapat disahkan memaparkan seorang wanita yang tidak bertudung berada di sebuah tempat kelihatan seperti gimnasium dan melakukan gerakan senaman.

Lembaga Sukan Awam berkata, video berkenaan mengandungi adegan yang boleh meruntuhkan akhlak orang ramai.

Golongan wanita di Arab Saudi diwajibkan berpakaian menutup aurat atau mengenakan abaya, satu peraturan yang dianggap banyak pihak sebagai konservatif. - AFP

Berita Harian X