Khamis, 4 April 2019 | 12:59pm
Bangunan Parlimen Australia. Foto Agensi

Australia kuat kuasa undang-undang sasar firma media sosial

SYDNEY: Eksekutif media sosial bakal berdepan hukuman penjara, jika mereka gagal membuang kandungan yang disifatkan ekstrem, daripada platform masing-masing dengan serta-merta.

Undang-undang itu diguna pakai oleh Kerajaan Australia mulai hari ini, susulan penstriman secara langsung insiden tembakan di dua masjid di Christchurch, New Zealand.

Ahli Parlimen sepakat mengundi memihak kepada undang-undang itu, mengakibatkan tindakan tidak membuang rakaman dianggap berunsur keganasan, membunuh, mendera, merogol dan menculik adalah satu kesalahan.

Berikutan itu, penyedia perkhidmatan, kandungan dan penyedia perkhidmatan internet akan dipersalahkan, jika kandungan itu tidak dikeluarkan dari platform terbabit.

Beberapa platform seperti Facebook dan YouTube bakal berdepan denda mencecah bilion dollar, atau 10 peratus daripada perolehan tahunan global, kerana gagal membenarkan ‘penyingkiran dengan segera’ bahan yang menyinggung.

Sementara, eksekutif platform terbabit boleh dikenakan hukuman penjara tiga tahun. - AFP

Berita Harian X