Isnin, 8 Julai 2019 | 5:05pm
Luke Munday mengaku salah memukul pasangannya yang hamil pada Disember lalu. Foto Agensi

Lelaki mengaku bersalah pukul wanita hamil

SYDNEY: Seorang lelaki yang secara tidak sengaja memuat naik audio perbuatan memukul pasangannya yang hamil, ketika asyik bermain permainan dalam talian, Fortnite, mengaku bersalah melakukan serangan itu, di sebuah mahkamah di sini, hari ini.

Stesen penyiaran ABC melaporkan, Luke Munday, 26, mengaku memukul pasangannya, selepas wanita itu berulang-kali meminta supaya berhenti bermain permainan video popular berkenaan, pada Disember lalu.

Ketika kejadian, Munday sedang bersiaran secara langsung di platform video, Twitch, sekali gus membolehkan insiden itu disiarkan kepada penonton di seluruh dunia, hingga tular di media sosial.

Menurut polis, seorang pengguna yang menonton penstriman itu menghubungi pihak berkuasa, yang kemudian memberkas Munday di kediamannya di Oran Park, iaitu di pinggir bandar barat daya Sydney.

“Dua anak pasangan muda itu berada di dalam rumah ketika kejadian berlaku,” kata polis.

ABC melaporkan, Munday mengaku bersalah melakukan serangan berkenaan dan jika sabit kesalahan, beliau bakal berdepan hukuman denda dan penjara dua tahun.

“Hukuman akan dijatuhkan bulan depan,” lapor ABC. - AFP

741 dibaca
Berita Harian X