Isnin, 15 Julai 2019 | 3:58pm
Erwan Ferrieux (kanan) kali terakhir dilihat bersama pelancong British, Hugo Palmer lima bulan lalu dekat Port Macquarie. - Foto Instagram

Polis percaya temui tulang milik pelancong Perancis

SYDNEY: Polis Australia percaya beberapa tulang manusia yang dijumpai di kawasan pantai adalah milik lelaki Perancis yang dilaporkan hilang sejak Februari lalu.

Erwan Ferrieux, 21, kali terakhir dilihat bersama pelancong British, Hugo Palmer, kira-kira lima bulan lalu dekat Port Macquarie, bandar pelancongan terkenal, iaitu 385 kilometer di utara Sydney.

Bimbang dengan keselamatan kedua-dua pelancong muda itu, satu laporan polis dibuat selepas kenderaan sewa yang diletakkan bersama barangan peribadi mereka tidak bergerak.

Polis berkata, beberapa tulang dijumpai di pantai bulan lalu dan hasil ujian mengesahkan apa yang dikhuatiri.

“Kami yakin hasil perbandingan DNA ia adalah milik Erwan Ferrieux,” kata Superitendan Paul Fehon kepada wartawan di Port Macquarie.

Katanya, beberapa tulang turut dijumpai semalam, dan ia sudah di hantar ke jabatan forensik untuk dianalisis bagi menentukan sama ada ia milik salah seorang daripada pelancong muda itu.

“Tulang ini adalah sebahagian daripada anatomi (tubuh manusia),” kata Fehon.

Pada masa sama, polis sedang mencari seorang lagi pelancong, rakyat Belgium, Theo Hayez, 18, yang hilang selama lebih sebulan.

Hayez hilang selepas meninggalkan bar di Byron Bay, sebuah bandar peranginan kira-kira 765 kilometer di utara Sydney, pada 31 Mei lalu.

Australia adalah destinasi popular pelancong daripada pelbagai peringkat usia, kebanyakan mereka adalah pelancong muda. - Reuters

895 dibaca
Berita Harian X