Khamis, 18 Julai 2019 | 11:19am
Seorang kanak-kanak lelaki berjaya menemui penulis surat di dalam botol, selepas 50 tahun ia dicampak ke dalam laut. Foto hiasan

Kanak-kanak berjaya jejaki penulis surat dalam botol

SYDNEY: Seorang kanak-kanak lelaki berjaya menemui sepucuk surat di dalam botol di sebuah pantai di pedalaman Australia, dipercayai milik seorang lelaki Britain, yang menaiki kapal menuju ke negara itu kira-kira 50 tahun lalu.

Namun, stesen penyiaran ABC melaporkan, Jyah Elliott, 9, perlu menunggu buat seketika untuk bertemu pemilik botol itu yang kini berusia 63 tahun, kerana beliau sedang belayar di kawasan Baltik.

Elliott menemui botol berkenaan di kawasan pantai di selatan Australia pada Selasa lalu, dan keesokan harinya, beliau berjaya menemui pemilik surat berkenaan.

Penulis surat, iaitu Paul Gilmore yang berusia 13 tahun pada 17 November 1969, dilapor mencampak botol terbabit di Lautan Hindi, dengan harapan untuk memperoleh kawan baharu.

Surat terbabit yang memaklumkan mengenai kedudukan kapal yang dinaiki Gilmore, iaitu kira-kira 1,600 kilometer di timur Fremantle, Australia Barat, turut meminta penerima supaya membalasnya.

Walaupun, pada awalnya, Elliott menganggap surat itu sebagai palsu, beliau tetap membalasnya sehari selepas menemuinya.

“Beliau berasa sangat teruja,” kata ibunya, Carla Elliott kepada ABC.

Dalam pada itu, kakak Gilmore, Annie Crossland memberitahu ABC bahawa adiknya sedang belayar dan akan menghubungi Elliott, sebaik sahaja pulang dari pelayarannya. - AFP

Berita Harian X