Selasa, 10 September 2019 | 11:51am
Anggota bomba sedang memadamkan kebakaran di Angourie, New South Wales. Foto EPA

Polis siasatan punca kebakaran di Australia

SYDNEY: Ratusan penduduk Australia yang tinggal timur negara itu, meninggalkan kediaman mereka, susulan 140 kebakaran yang dilaporkan tercetus di beberapa bahagian di Queensland dan New South Wales.

Tiupan angin kencang mengakibatkan kebakaran semakin marak di dua negeri di Australia itu, sejak semalam, malah gagal dikawal di beberapa kawasan, hingga memusnahkan ribuan hektar hutan.

Pesuruhjaya Polis Queensland, Katrina Carroll, berkata pihaknya akan menyiasat punca sekurang-kurangnya lapan kebakaran, yang didapati amat mencurigakan.

“Sebahagian daripada kebakaran itu disebabkan oleh perbuatan kanak-kanak ketika bermain dan ia memberi kesan yang amat jelas, manakala sebahagian lagi adalah disengajakan serta berniat jahat.

“Kesan dan akibat daripada kejadian kebakaran ini amat menakutkan. Ia boleh menyebabkan kematian manusia. Bangunan dan kediaman turut musnah,” katanya kepada wartawan.

Perkhidmatan bomba berkata, 85 kebakaran yang tercetus di Queensland akibat musim kemarau dan angin kencang, menyebabkan 84 kediaman di seluruh negeri itu musnah.

Pemangku Perdana Menteri Queensland, Jackie Trad, berkata lebih 400 penduduk sudah ditempatkan di pusat pemindahan, namun setakat ini, tiada laporan kematian atau penduduk yang hilang diterima.

“Selain Sunshine Coast, kami masih menerima laporan kebakaran dari seluruh negeri,” katanya kepada wartawan.

Sementara itu, Perkhidmatan Bomba Luar Bandar New South Wales, berkata anggota bomba bergelut untuk memadamkan 55 kebakaran dan lima hartanah disahkan musnah dalam kejadian itu. - Reuters

431 dibaca
Berita Harian X