Isnin, 30 September 2019 | 10:15pm
PAVEL Ustinov

Mahkamah batal hukuman penjara pelakon Russia

MOSCOW: Mahkamah Moscow membatalkan hukuman penjara terhadap seorang pelakon, Pavel Ustinov, dalam kes yang mencetuskan bantahan dan kempen solidariti besar-besaran.

Ustinov, 23, dijatuhkan hukuman penjara tiga tahun setengah bulan ini kerana melakukan keganasan terhadap polis dalam bantahan pembangkang, walaupun bertegas dia tidak terbabit kerana hanya kebetulan berada di tempat kejadian.

Menurut wakil AFP, Hakim di Mahkamah Bandar Moscow berkata, perbicaraan yang dilakukan mahkamah daerah Tverskoi perlu diubah.

Pemantau bebas berkata, pendengaran kes berlangsung selepas lebih 25,000 orang mengambil bahagian dalam perhimpunan pembangkang di Moscow pada Ahad sebagai sokongan kepada mereka yang ditahan ketika bantahan anti-kerajaan.

Pengaku tidak bersalah Ustinov mencetuskan kempen solidariti besar-besaran, dengan mendapat sokongan daripada bintang filem, paderi hingga kumpulan guru, hingga menyaksikan ratusan orang turut mengadakan demonstrasi di luar pejabat pentadbiran, Presiden Vladimir Putin.

Kes Ustinov mencetuskan keraguan kerana mahkamah pada awalnya tidak mahu mempertimbangkan rakaman video daripada tempat kejadian yang menunjukkan polis tidak mengasari pelakon itu. Ustinov didapati bersalah selepas seorang daripada polis rusuhan menuduh dia menyebabkan kecederaan dibahu.

Minggu lalu, Ustinov dibebaskan sementara menunggu tarikh pendengaran rayuannya.

Dia dibebaskan selepas pendakwa membuat permohonan kepada mahkamah agar menjatuhkan hukuman tanpa penjagaan kepada Ustinov, dengan alasan hukuman yang dikenakan terhadapnya terlalu berat.

Pada asalnya, pendakwa mengemukakan kepada mahkamah untuk memenjarakan Ustinov selama enam tahun. - AFP

Berita Harian X